Monday, July 13, 2009

SEBARIS AYAT SECAWAN KOPI


Assalamualaikum & Salam Sejahtera;

Tanggal 4 Jun 2009 (Khamis) lalu atas sebab tugas saya berada di Lumut, Perak Darul Ridzuan. Bandar Pelancungan yang baru diwartakan sebagai Bandar Tentera Laut DiRaja Malaysia.

Sebagaimana rancangan awal saya jam 10.30 pagi harus sampai di sana untuk temujanji yang telah diaturkan lebih awal. Saya bertolak sekitar jam 8.30 pagi dari Shah Alam melalui jalan Kuala Selangor dan Sekinchan. Dapat juga melelapkan mata seketika dalam perjalanan untuk menghilangkan mengantuk kerana saya kurang tidur 2 ke 3 hari sebelumnya. Temujanji yang harus saya hadiri hanya mungkin mengambil masa sekitar satu jam. Jangkaan saya memang tepat, bukan sejam tetapi sekadar 30 minit tugas itu selesai. 11.15 pagi saya minum kopi seketika sambil memikirkan sesuatu apa perlu saya buat sehingga jam 2 petang. Agak panjang masa yang terluang sebelum harus berada di Ipoh untuk sesi yang lain. Nasib saya baik kerana ada pemandu yang menemankan untuk juga dibuat kawan berbual juga menanyakan satu persoalan dungu; "Apa kita nak buatni?". Sambil menghirup kopi O panas lalu terlintas; "Aku ni minum di kafe Pasukan Khas (PASKAL) TLDM Lumut, bukankah Azmi Johari di sini?". Lalu saya membelek-belek telefon di tangan. Sekali lagi saya bernasib baik kerana nombor beliau sememangnya saya simpan walaupun tidak pernah bertemu sejak 1993. Berapa tahun tu? Siapa baca kiralah sendiri! (jangan marah). Seingat saya 1993 ketika saya bertemu beliau saya masih berkhidmat dengan TUDM di Pangkalan Udara Butterworth. Saat itu, kebetulan saya sedang menunggang motosikal kesayangan Panther 150 bernombor pendaftaran MX 1090 (motosikal itu sudah lenyap dari lipatan sejarah (total lost) sejak saya terlibat dalam kemalangan jalanraya di Hentian R&R Sungai Bakap, Pulau Pinang ketika dalam perjalanan pulang bercuti sempena Hari Raya Haji. Malam Raya Haji yang menghantar saya ke Hospital Sungai Bakap lalu bertongkat 2 bulan, juga yang menjadikan saya salah seorang Superman Melayu kerana berjaya terbang sejauh 30 meter sebelum sesak nafas dalam longkang. Seingat saya Lebuhraya Utara Selatan dari Kamunting ke Seberang Prai Selatan (SPU) baru dibuka beberapa minggu sebelum saya berjaya mencatat satu rekod di situ) untuk memasuki pangkalan apabila saya terpandang beliau di dalam trak tentera juga sedang memasuki pangkalan. Kami bersembang seketika sebelum saya meminta diri untuk bertugas. Sejak itu kami tidak pernah bertemu sehinggalah 4 Jun lalu.

Berbalik kepada cerita kopi O dan telefon tadi; sambil menghirup kopi O saya terus mendial nombor telefon beliau, sayangnya selepas lebih 10 panggilan masih tidak berjawap. Saya cuba bertanya anggota yang ada di situ. Mereka mengenalinya tetapi beliau gagal dikesan (kencinglah tu dalam fikiran saya). Saya teruskan mendial dengan menggunakan kedua-dua telefon bimbit yang saya ada, akhirnya selepas lebih 25 panggilan telefon berjawap. Sayangnya bukan beliau tetapi seorang lelaki misteri, lalu saya tanyakan siapa? Jawabnya: "Ni adik dia, baru datang dari Batu Pahat, Azmi keluar, katanya". Tidak sempat saya ajukan soalan SRP berikutnya lalu katanya; " Hah! dia dah balik", Kejap katanya mungkin sambil menyerahkan telefon pada Azmi. Lalu Azmi berkata "Hello siapa ni". Saya katakan: "Norakir lah", apa lagi terkejut beruklah beliau, sayangnya saya tak nampak pula beruk yang ada di situ samaada terkejut sama atau tidak. Kami sepakat bertemu di Pekan Manjung. Saya membayar minuman dan menuju Manjung. Kami bertemu di restauran yang saya terlupa namanya. Sambil minum sembang-sembang kosong. Tepat jam 1.15 saya minta diri untuk ke Ipoh.

Bagi tatapan para sahabat sekalian; lihatlah gambar beliau yang kelihatan makin tenbam dari dulu. Beliau sekarang adalah Bentara Kanan TLDM di Pasukan Khas Laut (PASKAL) - Komando le tu.....! Pernah bertugas di Teluk Aden semasa kes rampasan kapal MISC oleh lanun Somalia. Menurut beliau ibu beliau tinggal bersama beliau sejak arwah ayah beliau meninggal dunia. Beliau jarang pulang ke Seri Medan, katanya sudah tiada sesiapa di kampung. Ketika bertemu beliau di Manjung, beliau sedang bercuti 2 minggu untuk melangsungkan majlis perkahwinan adik perempuan beliau di sana. Menurut kata beliau, kemungkinan besar akan terus menetap di Lumut selepas bersara kerana telah membeli rumah di sana dan isteri beliau juga berasal dari daerah Lumut. Hingga bertemu lagi.

Wassalam

Sunday, July 12, 2009

SEBARIS AYAT SECAWAN KOPI

Assalamualaikum & Salam Sejahtera;

Pada 13 Jun 2009, hampir sebulan lalu saya berkesempatan menghadiri satu Majlis Perkahwinan saudara sebelah ibu saya di Parit Jawa, Muar. Parit Jawa adalah kampung halaman ibu saya sebelum berkahwinan dengan arwah ayah dan berhijrah seterus menetap di Seri Medan. Mengikut cerita ibu pada awal berhijrah ke Seri Medan arwah ayah dan ibu tinggal di tapak taman perumahan di belakang gerai majlis daerah di Pekan Seri Medan yang ada sekarang. Berbalik kepada cerita yang ingin saya sampaikan sebelum melencung jauh. Mungkin sebelum ini melalui e-mail kepada rakan-rakan semua saya pernah bercerita berkenaan Cikgu Norazmi Hasyim yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan ibu saya. Saya sering menggunakan peribahasa lama yang diperbaharui atau dengan kata lain dah kena "up-grade" berbunyi "Bau-bau stokin basah". Jikalau "Bau-bau stokin kering" yang sudah dipakai seminggu, baunya mungkin lebih kuat tetapi jikalau sudah direndam dalam baldi pasti baunya berkurangan menunjukkan tali persaudaraan yang sudah agak jauh; begitulah akan maksud saya itu.

Kembali ke tanggal 13 Jun tadi; saya sebenarnya tidak menyangka akan bertemu beliau pada majlis itu akan tetapi ketika sedang memangku Hakimi sambil menjamah hidangan mata saya liar memandang sekitar akhirnya terpandang seseorang pada jarak 15 meter seperti saya kenali. Lalu terdetik di hati "ehh! Cikgu Azmi rasanya", lalu saya ajukan hal itu pada ibu. Saya mendapatkan beliau dan bersalaman disertai adik-adik saya yang pernah mendapat didikan dariada beliau. Kami tidak dapat berbual panjang kerana beliau masih ada majlis lain yang ingin dihadiri. Jika kita melihat pada gambar yang saya lampirkan beliau kelihatan amat berbeza dari dulu kerana jelas kelihatan beliau kurus mungkin atas faktor usia. Untuk makluman beliau masih mengajar Sekolah Munsyi Sulaiman, Jalan Keluang jika tidak silap saya namun beberapa tahun lalu saya ada juga bertemu beliau ketika itu beliau mengajar di Sekolah Tinggi Batu Pahat. Beliau masih menetap di rumah lama beliau berhampiran TIGS. Ada beberapa kali saya singgah di rumah beliau namun beliau tidak berada di rumah lalu saya sekadar meninggalkan pesanan. Seingat saya enam atau tujuh tahun lepas saya pernah minum teh bersama di Tasik Y bersama sahabat kita Cikgu Asik Saim sehingga 13 Jun lalu kami tersua kembali. Bersama kita doakan beliau terus sihat untuk terus menabur bakti kerana beliau sekarang di akhir kerjaya beliau sebelum bersara.

Wasalam