Monday, October 11, 2010

CORETAN DARI ADMIN - KURSUS ASAS FOTOGRAFI DIGITAL

Assalamualaikum kepada teman-teman sekalian, sudah lama saya tidak memuatkan cerita terbaru di dalam blog ini. Lebih dua bulan baru saya dapat menghantar entri terbaru ini. Hari ini 11 Okt 2010. Semalam 10 10 10 merupakan tarikh yang bermakna kepada semua insan dan pada tarikh itu juga kita telah dikejutkan dengan berita kemalangan bas ekspres berhampiran dengan susur keluar ke Simpang Ampat di Lebuh raya PLUS. Takziah kepada yang terlibat.

Pada 6 Okt hingga 8 Okt 2010 yang lepas saya telah pun selesai menjalankan satu kursus AFD yang dihadiri oleh staf-staf dimana saya bertugas. Saya sebagai tenaga pengajar kursus tersebut telah dapat memberikan serba sedikit petua-petua dan juga cara-cara yang betul semasa mengambil gambar. Kursus yang telah dihadiri oleh semua staf ini diberikan secara percuma. Untuk seseorang menghadiri kursus AFD ini dipermis-permis luar memang mahal. Cubalah teman-teman cari di internet berapakah harga yang perlu dibayar. Untuk 2 hari kursus di permis-permis luar harga hampir mencecah RM 1,000.00.

Di dalam kursus yang telah dianjurkan ini saya telah memberikan tunjuk ajar bagaimana untuk mengambil gambar yang betul dengan menggunakan kaedah-kaedah betul. Tanpa menggunakan Auto tetapi manual sepenuhnya. Peserta guna didedahkan apakah itu shutter, AF, ISO dan juga penggunaan WB. Cara-cara mengambil gambar diwaktu malam yang betul dan diakhir kursus saya juga telah memberikan beberapa tip untuk mengambil gambar potret menggunakan "flash".

Setelah diberi tunjuk ajar, saya dapati cara untuk mengambil gambar objek bergerak yang latarbelakangnya kabur merupakan satu cabaran yang paling susah untuk setiap peserta atasi. Tetapi hasil usaha gigih setiap peserta, cabaran yang telah saya berikan berjaya dihasilkan. Kepada teman-teman yang berminat mendalami ilmu fotografi saya tidak keberatan untuk menurunkan ilmu tersebut. Bukan hanya fotografi malah videografi, video editing juga kalau berminat saya tidak keberatan.

Gambar ini saya rakamkan di jambatan berhampiran PICC Putrajaya

Saya bersama-sama peserta kursus di Ulu Yam Selangor