Tuesday, January 5, 2010

MAJLIS REUNION BATCH 81-85

Kenalkah anda guru yang berbaju merah dan hijau
Mantan Pengetua SMKSM - Tuan Hj Fahmi bin Yusof

Gambar kenangan yang sempat saya rakamkan untuk tatapan semua

Saya berkesempatan untuk menghadiri majlis makan malam reunion batch 810-85. Saya juga telah diberikan amanah untuk mengambil gambar dan juga video disepanjang majlis tersebut berjalan. Buat masa ini saya sedang dalam proses untuk menyiapkan video dalam bentuk DVD. Di dalam video tersebut saya akan paparkan beberapa segmen yang agak menarik.


Friday, October 30, 2009

CORETAN DARI SAYA - MAHLUK TUHAN


Rama-rama atau pun nama saintifiknya lipidoptre banyak terdapat di negara kita. Ianya adalah jenis serangga daripada Kelas Insecta mereka biasanya kecil dan mempunyai bilangan yang terbesar dalam Phylum Arthropoda.



Terdapat beribu-ribu spesias rama-rama di Malaysia. Kita sebagai manusia hargailah fauna yang dapat kita kecapi untuk generasi hadapan



CORETAN DARI SAYA - KESIBUKAN TUGAS

Dalam menempuh hari-hari yang mendatang ini, kita selaku kalifah dimuka bumi ini masing-masing harus meneruskan kehidupan. Dalam pada itu juga kita jangan lupa untuk meluangkan masa kepada keluarga. Adakah kerana dengan kesibukan tugas itu kita mengabaikan tugas sebagai ibu(kepada yang berkerja) dan bapa dengan alasan semua sudah disediakan. Pasti tidak. Saya percaya teman-teman seperjuangan tidak berbuat demikian.

Tapi perlu diingat, sudah banyak kita dengar dalam masyarakat hari ini, kerana kesibukan tugas anak-anak dan keluarga terabai. Perkara ini tidak boleh dinafikan. Kita perlu akur akan tugas yang diberikan oleh ketua kita. Kedua-dua penting, kalau kita abaikan kerja apa yang akan terjadi kepada keluarga kita dan kalau kita abaikan keluarga maka punah. Oleh yang demikian fikir-fikirkan. Tepuk dada tanya iman jangan tepuk dada tanya selera kerana selera setiap insan dimuka bumi ini besar.
Mengikut kamus dewan edisi keempat sibuk (adjektif) membawa maksud yang banyak, salah satunya adalah perihal (keadaan dsb) menghadapi atau dibebani banyak kerja (urusan dsb): usaha itu terbengkalai untuk beberapa ketika kerana kerja.
Sementara itu dalam Tesaurus DBP kesibukan: bersinonim dengan keasyikan, kelekaan, kegiatan, ketekunan, kerajinan, kesungguhan. Ianya juga bersinonim dengan kesesakan: keributan, kekalutan, kebisingan, keriuhan dan berantonim dengan kedamaian.
Kata Terbitan adalah bersibuk, menyibukkan, kesibukan. Oleh yang demikian fikir-fikirkanlah yang mana satu tergolong dalam diri kita.

Friday, October 23, 2009

CORETAN DARI SAYA

Diwaktu ini tepat jam 1122, 23 Okt 2009 bersamaan 4 Zulkaedah 1430waktu yang tertera di komputer saya. Sudah lama saya tidak berkesempatan untuk memuatkan berita terbaru atau pun cerita-cerita dalam blog ini. Mungkin kerana kesibukan kerja atau pun saja-saja buat sibuk, sehingga tidak dapat melayari blog yang saya sendiri usahakan ini.


Ada juga pesanan dari kawan-kawan kenapa semenjak dua menjak blog ini seperti dilanda garuda. Senyap dan sunyi. Adakah kerana gempa bumi di Padang, Indonesia tempiasnya melanda sehingga ke dalam blog ini ataupun kepadatan tugas yang menyebabkan tidak dapat menerbitkan cerita-cerita terbaru.


Minggu lepas pada 17 Okt 2009 saya bersama-sama Norakir berkesempatan menghadiri majlis aqiqah anak Yusli bin Mustafa (rakan sekelas dari dari 1 hingga 6 di Sek Keb Seri Medan) di Taman Universiti Parit Raja. Anak yang ketiga, kalau tak silap saya baru berusia 3 bulan. Alhamdullilah bertambah lagi umat islam dimuka bumi ini. Untuk pengetahuan semua, Yusli kini mengajar di Sek Men Tun Sardon, Rengit.

28 Okt 2009 jam 1106 minit pagi, aku menyambung semula. Aku baru sahaja membaca email yang telah dikirimkan oleh En Anuari bin Kairi yang kini sedang bertugas di RHB Bank Cawangan Kluang. Kepada sesiapa yang ada masalah tu, cuba-cubalah hubungi dia di Cawangan tersebut. Manalah beliau boleh membantu. Anuari adalah bekas pelajar SMSM tahun 1988 dlm kelas 5 Sains. Kalau tidak silap saya dia pernah bermain bola sepak bersama-sama saya dalam mewakili SMSM.

Pada 31 Jul lepas, saya ada menghadiri kursus di Marina Cove, Lumut Perak. Bila sudah sampai di sana, saya pun menghubungi A. Azmi. Walaupun telah menghubungi beliau tapi kerana kesibukan tugas dan masa saya tidak dapat untuk bertemu dengannya. Mungkin dilain kali dapat bertemu, atau pun semasa menjalani latihan pra peralihan di PERHEBAT, Sungai Buloh. A.Azmi dan saya memasuki perkhidmatan dalam ATM hanya dibezakan 5 atau 4 hari sahaja iaitu bulan 7 tahun 1991.

Akhir kalam dari saya, semoga semua selamat maju jaya dalam menempuhi hari-hari mendatang.


Monday, October 5, 2009

JEMPUTAN JAMUAN SEMPENA AIDILFITRI


اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَآَتُهْ
(Bismillah al rahman al rahim)

SALAM AIDILFITRI MAAF ZAHIR & BATIN
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah S.W.T; moga berada dengan kesejahteraan dan kerahmatannya bersama keluarga. Saya dengan penuh rasa rendah diri ingin menjemput para sahabat dan kenalan bekas-bekas pelajar SMKSM dengan tidak mengira tahun persekolahan samada peringkat abang-abang, kakak-kakak mahupun adik-adik untuk sama-sama hadir ke rumah terbuka Aidilfitri saya dan keluarga. Sesungguhnya rezeki yang diberikan oleh Allah S.W.T itu adalah kurnianya untuk sekalian hamba-hambanya untuk sama-sama saling dinikmati dan bantu-membantu, hormat-menghormati dan kasih-mengasihi sesama kita hambanya. Sesungguh juga majlis ini adalah khusus untuk bekas-bekas teman SMKSM tanpa mengenal usia. Harapan saya semoga majlis ini menjadi tali penyambung silaturahim sesama kita. Insyallah, majlis akan berlangsung dari jam 13.00 (01.00 PM) ke 18.00 (06.00 PM) pada 10hb Oktober 2009 bersamaan 21 Syawal 1430H di alamat sebagaimana di bawah dan sebarang kemusykilan hubungi saya di talian yang diberikan.

Dr. Norakir bin Nordin
No. 253, Jalan Kajang Perdana 2/19
Kajang Perdana, 43000 KAJANG
Selangor Darul Ehsan
Tel: 03-87330816
Mobile: 013-3406972 / 016-2613859

Monday, July 13, 2009

SEBARIS AYAT SECAWAN KOPI


Assalamualaikum & Salam Sejahtera;

Tanggal 4 Jun 2009 (Khamis) lalu atas sebab tugas saya berada di Lumut, Perak Darul Ridzuan. Bandar Pelancungan yang baru diwartakan sebagai Bandar Tentera Laut DiRaja Malaysia.

Sebagaimana rancangan awal saya jam 10.30 pagi harus sampai di sana untuk temujanji yang telah diaturkan lebih awal. Saya bertolak sekitar jam 8.30 pagi dari Shah Alam melalui jalan Kuala Selangor dan Sekinchan. Dapat juga melelapkan mata seketika dalam perjalanan untuk menghilangkan mengantuk kerana saya kurang tidur 2 ke 3 hari sebelumnya. Temujanji yang harus saya hadiri hanya mungkin mengambil masa sekitar satu jam. Jangkaan saya memang tepat, bukan sejam tetapi sekadar 30 minit tugas itu selesai. 11.15 pagi saya minum kopi seketika sambil memikirkan sesuatu apa perlu saya buat sehingga jam 2 petang. Agak panjang masa yang terluang sebelum harus berada di Ipoh untuk sesi yang lain. Nasib saya baik kerana ada pemandu yang menemankan untuk juga dibuat kawan berbual juga menanyakan satu persoalan dungu; "Apa kita nak buatni?". Sambil menghirup kopi O panas lalu terlintas; "Aku ni minum di kafe Pasukan Khas (PASKAL) TLDM Lumut, bukankah Azmi Johari di sini?". Lalu saya membelek-belek telefon di tangan. Sekali lagi saya bernasib baik kerana nombor beliau sememangnya saya simpan walaupun tidak pernah bertemu sejak 1993. Berapa tahun tu? Siapa baca kiralah sendiri! (jangan marah). Seingat saya 1993 ketika saya bertemu beliau saya masih berkhidmat dengan TUDM di Pangkalan Udara Butterworth. Saat itu, kebetulan saya sedang menunggang motosikal kesayangan Panther 150 bernombor pendaftaran MX 1090 (motosikal itu sudah lenyap dari lipatan sejarah (total lost) sejak saya terlibat dalam kemalangan jalanraya di Hentian R&R Sungai Bakap, Pulau Pinang ketika dalam perjalanan pulang bercuti sempena Hari Raya Haji. Malam Raya Haji yang menghantar saya ke Hospital Sungai Bakap lalu bertongkat 2 bulan, juga yang menjadikan saya salah seorang Superman Melayu kerana berjaya terbang sejauh 30 meter sebelum sesak nafas dalam longkang. Seingat saya Lebuhraya Utara Selatan dari Kamunting ke Seberang Prai Selatan (SPU) baru dibuka beberapa minggu sebelum saya berjaya mencatat satu rekod di situ) untuk memasuki pangkalan apabila saya terpandang beliau di dalam trak tentera juga sedang memasuki pangkalan. Kami bersembang seketika sebelum saya meminta diri untuk bertugas. Sejak itu kami tidak pernah bertemu sehinggalah 4 Jun lalu.

Berbalik kepada cerita kopi O dan telefon tadi; sambil menghirup kopi O saya terus mendial nombor telefon beliau, sayangnya selepas lebih 10 panggilan masih tidak berjawap. Saya cuba bertanya anggota yang ada di situ. Mereka mengenalinya tetapi beliau gagal dikesan (kencinglah tu dalam fikiran saya). Saya teruskan mendial dengan menggunakan kedua-dua telefon bimbit yang saya ada, akhirnya selepas lebih 25 panggilan telefon berjawap. Sayangnya bukan beliau tetapi seorang lelaki misteri, lalu saya tanyakan siapa? Jawabnya: "Ni adik dia, baru datang dari Batu Pahat, Azmi keluar, katanya". Tidak sempat saya ajukan soalan SRP berikutnya lalu katanya; " Hah! dia dah balik", Kejap katanya mungkin sambil menyerahkan telefon pada Azmi. Lalu Azmi berkata "Hello siapa ni". Saya katakan: "Norakir lah", apa lagi terkejut beruklah beliau, sayangnya saya tak nampak pula beruk yang ada di situ samaada terkejut sama atau tidak. Kami sepakat bertemu di Pekan Manjung. Saya membayar minuman dan menuju Manjung. Kami bertemu di restauran yang saya terlupa namanya. Sambil minum sembang-sembang kosong. Tepat jam 1.15 saya minta diri untuk ke Ipoh.

Bagi tatapan para sahabat sekalian; lihatlah gambar beliau yang kelihatan makin tenbam dari dulu. Beliau sekarang adalah Bentara Kanan TLDM di Pasukan Khas Laut (PASKAL) - Komando le tu.....! Pernah bertugas di Teluk Aden semasa kes rampasan kapal MISC oleh lanun Somalia. Menurut beliau ibu beliau tinggal bersama beliau sejak arwah ayah beliau meninggal dunia. Beliau jarang pulang ke Seri Medan, katanya sudah tiada sesiapa di kampung. Ketika bertemu beliau di Manjung, beliau sedang bercuti 2 minggu untuk melangsungkan majlis perkahwinan adik perempuan beliau di sana. Menurut kata beliau, kemungkinan besar akan terus menetap di Lumut selepas bersara kerana telah membeli rumah di sana dan isteri beliau juga berasal dari daerah Lumut. Hingga bertemu lagi.

Wassalam

Sunday, July 12, 2009

SEBARIS AYAT SECAWAN KOPI

Assalamualaikum & Salam Sejahtera;

Pada 13 Jun 2009, hampir sebulan lalu saya berkesempatan menghadiri satu Majlis Perkahwinan saudara sebelah ibu saya di Parit Jawa, Muar. Parit Jawa adalah kampung halaman ibu saya sebelum berkahwinan dengan arwah ayah dan berhijrah seterus menetap di Seri Medan. Mengikut cerita ibu pada awal berhijrah ke Seri Medan arwah ayah dan ibu tinggal di tapak taman perumahan di belakang gerai majlis daerah di Pekan Seri Medan yang ada sekarang. Berbalik kepada cerita yang ingin saya sampaikan sebelum melencung jauh. Mungkin sebelum ini melalui e-mail kepada rakan-rakan semua saya pernah bercerita berkenaan Cikgu Norazmi Hasyim yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan ibu saya. Saya sering menggunakan peribahasa lama yang diperbaharui atau dengan kata lain dah kena "up-grade" berbunyi "Bau-bau stokin basah". Jikalau "Bau-bau stokin kering" yang sudah dipakai seminggu, baunya mungkin lebih kuat tetapi jikalau sudah direndam dalam baldi pasti baunya berkurangan menunjukkan tali persaudaraan yang sudah agak jauh; begitulah akan maksud saya itu.

Kembali ke tanggal 13 Jun tadi; saya sebenarnya tidak menyangka akan bertemu beliau pada majlis itu akan tetapi ketika sedang memangku Hakimi sambil menjamah hidangan mata saya liar memandang sekitar akhirnya terpandang seseorang pada jarak 15 meter seperti saya kenali. Lalu terdetik di hati "ehh! Cikgu Azmi rasanya", lalu saya ajukan hal itu pada ibu. Saya mendapatkan beliau dan bersalaman disertai adik-adik saya yang pernah mendapat didikan dariada beliau. Kami tidak dapat berbual panjang kerana beliau masih ada majlis lain yang ingin dihadiri. Jika kita melihat pada gambar yang saya lampirkan beliau kelihatan amat berbeza dari dulu kerana jelas kelihatan beliau kurus mungkin atas faktor usia. Untuk makluman beliau masih mengajar Sekolah Munsyi Sulaiman, Jalan Keluang jika tidak silap saya namun beberapa tahun lalu saya ada juga bertemu beliau ketika itu beliau mengajar di Sekolah Tinggi Batu Pahat. Beliau masih menetap di rumah lama beliau berhampiran TIGS. Ada beberapa kali saya singgah di rumah beliau namun beliau tidak berada di rumah lalu saya sekadar meninggalkan pesanan. Seingat saya enam atau tujuh tahun lepas saya pernah minum teh bersama di Tasik Y bersama sahabat kita Cikgu Asik Saim sehingga 13 Jun lalu kami tersua kembali. Bersama kita doakan beliau terus sihat untuk terus menabur bakti kerana beliau sekarang di akhir kerjaya beliau sebelum bersara.

Wasalam

Wednesday, May 20, 2009

SEBARIS AYAT SECAWAN KOPI

Assalamuaalikum;

Kembali bertemu sejak beberapa lama menyepi diri disebabkan beberapa perkara yang mendesak untuk diperinci dan dijayakan. Banyak perkara harian yang menjadi tugas rutin kita dari soal kerja hinggakan kepada urusan keluarga kadangkala menyesakkan kita. Kadangkala kita terlupa pula kepada riadah untuk menenangkan fikiran. Pada 22 Mac 2009 lalu sempat beriadah seketika bersama Supalil dan keluarga di Sungai Tekala. Seronok juga memandangkan memang sudah lama tidak melakukan aktiviti sedemikian kerana kesibukan yang kita cipta sendiri. Dapat juga merasa BBQ ayam dan kambing dijamu bersama Nasi Goreng Cina dan Nasi Lemak yang dibawa Oked. Sambil-sambil mandi melayan anak-anak melintas pula penjaja aiskrim, terasa zaman budak-budak. Berikut antara gambar-gambar di Tekala.

Hingga bertemu lagi.






Wednesday, May 13, 2009

BEKAS PELAJAR SMKSM DAN JUGA BEKAS ANGGOTA ATM - (TUDM - LLP) MEMPEROLEHI IJAZAH KEDOKTORAN SAINS POLITIK


Berkat kesabaran, pengorbanan dan perjuangan sejak 32 bulan dengan memerah tenaga, pemikiran, masa, wang ringgit dan sokongan keluarga lalu hasilnya terlerai pada 10 Mei 2009. Sebenarnya perjuangan beliau bermula sejak 17 tahun lalu tanpa henti apabila memulakan titik perjalanan dengan mendaftar sebagai siswa Diploma Komputer & Pengurusan luar kampus. Hasil pertama ternoktah pada 01 Disember 1995 di Dewan Tuanku Canselor UM dengan Penganugerahan Graduan Bestari dari Yang Mulia Prof. DiRaja Ungku Aziz. Sejak itu tidak menoleh kebelakang, melangkah setingkat demi setingkat dengan Ijazah Sarjana Muda (Hons) & Sarjana dalam dalam bidang Teknologi Maklumat dan akhirnya Ijazah Kedoktoran Sains Politik dari Berkeley International University Southern Carlifornia, USA. Malah ini merupakan catatan sejarah kerana beliau Graduan PhD pertama di Malaysia dalam Bidang Sains Politik bagi program kerjasama Transair, Interbankers International, IBC.

Kejayaan beliau ini mungkin yang pertama dalam sejarah Angkatan Tentera Malaysia iaitu seorang bekas anggota tentera dari LLP yang berjaya memperolehi PhD.

Teman yang dimaksudkan adalah Norakir bin Nordin dan kini beliau layak untuk kita semua memanggil beliau dengan gelaran Dr Norakir bin Nordin

Saya dan juga seluruh bekas pelajar SMKSM dengan ini mengucapkan TAHNIAH kepada beliau

Thursday, May 7, 2009

SELAMAT MENYAMBUT HARI IBU

Orang kata aku lahir dari perut mak..
(bukan org kata...memang betul)
Bila dahaga, yang susukan aku....mak
Bila lapar, yang suapkan aku....mak
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. ..mak
Kata mak, perkataan pertama yang aku sebut....Mak
Bila bangun tidur, aku cari....mak
Bila nangis, orang pertama yang datang ....mak
Bila nak bermanja, aku dekati....mak
Bila nak bergesel, aku duduk sebelah....mak
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya....mak
Bila nakal, yang memarahi aku....mak
Bila merajuk, yang memujukku cuma....mak
Bila melakukan kesalahan, yang paling cepat marah....mak
Bila takut, yang tenangkan aku....mak
Bila nak peluk, yang aku suka peluk....mak
Aku selalu teringatkan ....mak
Bila sedih, aku mesti talipon....mak
Bila seronok, orang pertama aku nak beritahu.....mak
Bila bengang.. aku suka luah pada..mak
Bila takut, aku selalu panggil... "mmaaakkkk! "
Bila sakit, orang paling risau adalah....mak
Bila nak exam, orang paling sibuk juga....mak
Bila buat hal, yang marah aku dulu....mak
Bila ada masalah, yang paling risau.... mak
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. mak
Yang selalu masak makanan kegemaranku....mak
kalau balik ke kampung, yang selalu bekalkan ulam & lauk pauk.....mak
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku....mak
Yang selalu berleter kat aku...mak
Yang selalu puji aku....mak
Yang selalu nasihat aku....mak
Bila nak kahwin..Orang pertama aku tunjuk dan rujuk.....mak
Aku ada pasangan hidup sendiri....

Bila seronok, aku cari....pasanganku
Bila sedih, aku cari....mak
Bila berjaya, aku ceritakan pada....pasanganku
Bila gagal, aku ceritakan pada....mak
Bila bahagia, aku peluk erat....pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat....emakku
Bila nak bercuti, aku bawa....pasanganku
Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah....mak
Bila sambut valentine.. Aku bagi hadiah pada pasanganku
Bila sambut hari ibu...aku cuma dapat ucapkan “Selamat Hari Ibu”
Selalu.. aku ingat pasanganku
Selalu.. mak ingat kat aku
Bila-bila... aku akan talipon pasanganku
Entah bila... aku nak talipon mak
Selalu...aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila... aku nak belikan hadiah untuk emak
Renungkan:
"Kalau kau sudah habis belajar dan berkerja... bolehkah kau kirim wang untuk mak?
mak bukan nak banyak... lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah".
Berderai air mata jika kita mendengarnya........
Tapi kalau mak sudah tiada..........MAKKKKK...RINDU MAK.... RINDU SANGAT....

Berapa ramai yang sanggup menyuapkan ibunya....
berapa ramai yang sanggup mencuci muntah ibunya.....
berapa ramai yang sanggup mengantikan lampin ibunya.....
berapa ramai yang sanggup membersihkan najis ibunya.......
berapa ramai yang sanggup membuang ulat dan membersihkan luka kudis ibunya....
berapa ramai yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibunya.....
dan akhir sekali berapa ramai yang sembahyang JENAZAH ibunya......
Seorang anak mendapatkan ibunya yang sedang sibuk menyediakan makan malam di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu. Si ibu segera mengesatkan tangan di apron menyambut kertas yang dihulurkan oleh si anak lalu membacanya.
Kos upah membantu ibu:
1) Tolong pergi kedai : RM4.00
2) Tolong jaga adik : RM4..00
3) Tolong buang sampah : RM1.00
4) Tolong kemas bilik : RM2.00
5) Tolong siram bunga : RM3.00
6) Tolong sapu sampah : RM3.00
Jumlah : RM17.00
Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu berlegar-legar si mindanya. Si ibu mencapai sebatang pen dan menulis sesuatu di belakang kertas yang sama.
1) Kos mengandungkanmu selama 9 bulan - PERCUMA
2) Kos berjaga malam kerana menjagamu - PERCUMA
3) Kos air mata yang menitis keranamu - PERCUMA
4) Kos kerunsingan kerana bimbangkanmu - PERCUMA
5) Kos menyediakan makan minum, pakaian, dan keperluanmu -PERCUMA
Jumlah Keseluruhan Nilai Kasihku - PERCUMA

Air mata si anak berlinang setelah membaca apa yang dituliskan oleh siibu. Si anak menatap wajah ibu,memeluknya dan berkata, "Saya Sayangkan Ibu".
Kemudian si anak mengambil pen dan menulis "Telah Dibayar" pada mukasurat yang sama ditulisnya
Ungkapan ini aku terima melalui email dan ucapan terima kasih kepada yang menghantar email ini.