Tuesday, January 6, 2009

ASAS KEJAYAAN PENDIDIKAN ANAK-ANAK


اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَتُهْ

Para sahabat dan pembaca yang dikasihi;

Bertemu sekali lagi untuk sama-sama berkongsi pandangan dan idea untuk membentuk kejayaan dan jatidiri anak-anak. Saya percaya sifat mesra, rendah diri, perkongsian ilmu dan percambahan fikiran mampu mencerna minda dan harapan besar kita untuk melihat anak-anak kita berjaya dalam pelajaran dan menjadi anak bangsa yang mempunyai kekuatan diri untuk menghadapi cabaran dalam hidup mereka nanti.

Keadaan persekitaran yang berubah dari masa ke semasa mewujudkan persaingan yang jauh lebih mencabar pada masa hadapan. Perkembangan teknologi, ekonomi, kerohanian dan kekuatan institusi kekeluargaan adalah antara elemen yang memberikan impak besar kepada pembangunan modal insan. Oleh yang demikian, saya percaya untuk melahirkan satu Bangsa Malaysia yang berjaya dan maju kekuatan nilai ilmu (pendidikan) dan ekonomi adalah menjadi asas penting. Saya tidak berhasrat bercakap untuk menletakkan entiti kita ini terlalu luas maka saya kecilkan kepada linkungan kita sahaja. Anak-anak perlu kita sediakan kekuatan diri dari faktor rohani, agama, pendidikan dan jatidiri yang kuat. Untuk itu saya ingin berkongsi pendapat dan pengalaman yang dikirimkan oleh Lt Kol Rosli Hj Bahrun (Pegawai Memerintah 8 Renjer PARA, Kem Terendak, Melaka yang juga merupakan bekas pelajar SMKSM 1983) kepada saya melalui e-mail pada Sabtu, Disember 07, 2008 2:53 AM lalu. Anak-anak beliau mendapat keputusan baik dalam PMR 2006 iaitu 6A dan UPSR 2007 dengan 4A1B dan UPSR 2008 juga 4A1B. Menurut beliau walaupun keputusan itu bukanlah satu keputusan yang cukup cemerlang namun ianya memuaskan hati kerana mereka sedang menghadapi dugaan besar pada ketika itu. Antara lain beliau menyatakan pendapat dan pandangan seperti berikut (Penjelasan di bawah telah saya olah sedikit untuk disesuaikan bagi tatapan umum, oleh yang demikian susunan ayat mungkin berubah daripada apa yang dikirimkan kepada saya):

a. Ibubapa jadi contoh; usaha dan pencapaian pelajaran ibu bapa boleh menjadi contoh kepada anak-anak untuk berusaha lebih gigih untuk menyaingi pencapaian ibu bapa mereka.

b. Jika berkemampuan hantar anak-anak belajar di sekolah yang terpilih untuk mewujudkan persaingan antara pelajar kerana sekolah yang terpilih memiliki pelajar yang terbaik untuk bersaing sesama mereka bergantung kepada kemampuan kita juga kelayakan anak-anka itu sendiri.

c. Tentukan anak-anak berkawan dengan 3-4 rakan tetap sebagai “Study Group” dengan melihat latarbelakang mereka.

d. Memperuntukan sejumlah perbelanjaan untuk mendapatkan buku-buku rujukan berkualiti. Beliau mencadangkan buku-buku keluaran Longman.
e. Menentukan keluarga tidak tinggal solat & doa dan memastikan anak-anak turut serta.

f. Membimbing anak-anak dari segi masa / cara belajar. Perlu menetapkan objektif belajar dan menentukan pembelajaran yang sistematik serta menetapkan garis tuju dan matlamat yang ingin dicapai selaras dengan bidang pengkhususan pengajian tinggi dan kerjaya semasa memasuki alam pekerjaan.

g. Ibu bapa perlu berkomunikasi dengan anak-anak. Bertanya masalah, berikan semangat dengan mengatakan perlunya ilmu untuk masa hadapan.

h. Uji pencapaian dengan kertas-kertas soalan percubaan. Latihan tubi juga penting untuk memastikan mereka mendapat latihan tambahan secukupnya. Saya berpendapatan selain daripada soalan-soalan tahun-tahun sebelumnya, soalan-soalan yang boleh diperolehi daripada buku-buku yang dijual dan kelas-kelas tambahan di luar, soalan juga boleh diperolehi dari sumber internet dan media cetak seperti Akhbar Didik Kumpulan News Strait Times juga Utusan Malaysia.

i. Tentukan anak-anak belajar tanpa tekanan. Ibu bapa jangan meletakkan tekanan tinggi kepada anak-anak. Cukup dengan menyatakan buat yang terbaik & sama-sama terima apa hasilnya. Anak-anak tidak mungkin berjaya apabila tertekan kecuali sifat anak itu sendiri yang mempunyai kekuatan dan kebolehan diri yang tidak dipertontonkan. Sebahagian besar anak-anak tidak faham & mungkin tidak dapat mengendalikan tekanan.

j. Beri masa rihat yang cukup sebelum & selepas mengulangkaji pelajaran.

k. Sediakan persekitaran belajar yang tiada gangguan seperti bunyi bising dan kemudahan yang selesa bergantung kepada kemampuan.

l. Ibu bapa perlu berkomunikasi dengan guru dan berikan tip kepada anak-anak teknik-teknik menjawab soalan. Dalam hal soalan subjektif, ramai pelajar gagal memahami kehendak soalan. Mereka sangka jawapan betul, sebaliknya tidak memenuhi keperluan soalan. Jelaskan juga agihan masa kepada setiap soalan agar tidak membazirkan masa.

m. Bersedia membantu / membimbing anak-anak belajar dengan ikhlas.

Perkara-perkara a hingga m di atas adalah pendapat dan pengalaman beliau sendiri yang telah saya susun atur semula untuk kesesuaian setiap lapisan status ibu bapa. Namun saya sendiri berpendapat ada beberapa perkara boleh ditekankan jika ibu bapa kenal potensi diri anak-anak mereka. Kesilapan kita suatu masa dulu adalah kesedaran dan kegagalan kita sendiri mengenal potensi diri dan kurangnya bimbingan dan motivasi dari hal halatuju. Saya percaya untuk membincangkan berkenaan hal pembelajaran ini saya bukanlah orang yang selayak kerana ianya juga bukan bidang kepakaran saya namun sedia berkongsi pandangan jika ada kalangan kita ingin mencari contoh dari sudut yang berbeza bagaimana saya keluar dari kepompong yang membelenggu diri saya juga sempadan yang kita wujudkan sendiri secara tidak sedar.
Kalangan kita ramai yang menjadi golongan pendidik maka saya percaya anda adalah orang yang amat layak untuk memberikan pandangan dan contoh berguna. Bagi pengajian tinggi pula saya percaya bakal seorang lagi Doktor PhD dari kalangan rakan-rakan kita seperti Norazak Senu yang berpengalaman luas sebagai Pensyarah Metamatik di peringkat Universiti boleh memberikan idea dan tip-tip tertentu. Tidak ketinggalan Mohd Asik Saim yang berpengalaman luas mengajar di sekolah rendah dan menengah yang menjadi guru Bahasa Inggeris tidak kurang hebatnya. Mungkin antara yang kita kurang sedar beliau adalah antara guru penting yang meletakkan Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Gading sebagai sekolah terbaik luar bandar Negeri Johor pada peringkat PMR selama tiga tahun berturut-turut. Kita sebenarnya mempunyai elemen secukup untuk saling membantu meningkatkan pencapaian anak-anak masing-masing. Apa yang menjadi penghalang adalah kesanggupan untuk berkongsi pandangan, tenaga dan sedikit pengorbanan masa dan wang ringgit.
Walaubagaimanapun kita sebenar terlupa kepada satu perkara, kita menginginkan semua anak-anak berjaya tetapi apakah segala usaha yang dibuat itu mencukupi dan apakah umpamanya dari 10 orang pelajar itu semuanya akan mendapat keputusan cemerlang? Kesimpulanya mungkin tidak. Yang cemerlang pastinya sudah jelas laluan, tetapi bagaimana dengan yang kurang cemerlang atau yang gagal terus? Saya lebih berminat untuk membimbing kelompok yang kedua ini. Kelompok kedua ini harus lebih banyak berkorban bukan pada ketika menjadi pelajar sekolah tetapi juga apabila sudah memasuki alam pekerjaan. Saya amat yakin mereka ini lebih kuat jatidirinya. Kerana saya melaluinya terlebih dahulu dari mereka. Maka marilah kita bersama berusaha secara bersama untuk melahirkan anak-anak yang lebih berjaya. Fikirkanlah!

Sekian, sampai bertemu lagi di catatan yang lain.

No comments: