Monday, October 11, 2010

CORETAN DARI ADMIN - KURSUS ASAS FOTOGRAFI DIGITAL

Assalamualaikum kepada teman-teman sekalian, sudah lama saya tidak memuatkan cerita terbaru di dalam blog ini. Lebih dua bulan baru saya dapat menghantar entri terbaru ini. Hari ini 11 Okt 2010. Semalam 10 10 10 merupakan tarikh yang bermakna kepada semua insan dan pada tarikh itu juga kita telah dikejutkan dengan berita kemalangan bas ekspres berhampiran dengan susur keluar ke Simpang Ampat di Lebuh raya PLUS. Takziah kepada yang terlibat.

Pada 6 Okt hingga 8 Okt 2010 yang lepas saya telah pun selesai menjalankan satu kursus AFD yang dihadiri oleh staf-staf dimana saya bertugas. Saya sebagai tenaga pengajar kursus tersebut telah dapat memberikan serba sedikit petua-petua dan juga cara-cara yang betul semasa mengambil gambar. Kursus yang telah dihadiri oleh semua staf ini diberikan secara percuma. Untuk seseorang menghadiri kursus AFD ini dipermis-permis luar memang mahal. Cubalah teman-teman cari di internet berapakah harga yang perlu dibayar. Untuk 2 hari kursus di permis-permis luar harga hampir mencecah RM 1,000.00.

Di dalam kursus yang telah dianjurkan ini saya telah memberikan tunjuk ajar bagaimana untuk mengambil gambar yang betul dengan menggunakan kaedah-kaedah betul. Tanpa menggunakan Auto tetapi manual sepenuhnya. Peserta guna didedahkan apakah itu shutter, AF, ISO dan juga penggunaan WB. Cara-cara mengambil gambar diwaktu malam yang betul dan diakhir kursus saya juga telah memberikan beberapa tip untuk mengambil gambar potret menggunakan "flash".

Setelah diberi tunjuk ajar, saya dapati cara untuk mengambil gambar objek bergerak yang latarbelakangnya kabur merupakan satu cabaran yang paling susah untuk setiap peserta atasi. Tetapi hasil usaha gigih setiap peserta, cabaran yang telah saya berikan berjaya dihasilkan. Kepada teman-teman yang berminat mendalami ilmu fotografi saya tidak keberatan untuk menurunkan ilmu tersebut. Bukan hanya fotografi malah videografi, video editing juga kalau berminat saya tidak keberatan.

Gambar ini saya rakamkan di jambatan berhampiran PICC Putrajaya

Saya bersama-sama peserta kursus di Ulu Yam Selangor






Thursday, September 2, 2010

BEKAS MURID SMKSM DI MELAKA CADANG TUBUH KELAB


Awal 28 Julai 2010 yang lepas saya menerima panggilan daripada seorang rakan sekampung yang juga bekas pelajar SMKSM. Beliau adalah Rahman bin Abas yang kini bertugas sebagai anggota PDRM di IPK Bukit Beruang Melaka. Tujuan hanya sekadar undangan tidak resmi berkenaan hasrat untuk perjumpaan ’orang-orang Medan’ yang ada di Melaka. Perjumpaan diadakan di Restoren Subaidah di MITC Air Keroh jam 0830 malam. Saya pun bertanyakan ...siapa lagi orang Medan yang akan datang?. Daripada nama-nama yang disebut ternyata mereka adalah ’otai-otai’ SMKSM kerana saya tidak mengenali mereka memandangkan ada yang SPM tahun 82 sedangkan pada masa tersebut saya baru darjah 6. Namun semangat darah anak Medan tetap mesra di pertemuan tersebut. Rancangan pertemuan ini tidak dirancang kerana pernah ada pertemuan sebelum ini dan yang dapat menghadirkan diri hanya 3 ke 4 orang sahaja jadi tiada rancangan khusus dibuat, tiada paksaan siapa yang mempunyai semangat kemedanan yg kuat pasti berusaha untuk hadir.

Masa 2 jam tidak sedar berlalu begitu pantas disebabkan leka bersembang, meriah bila anak Medan di perantauan dapat bertemu maka timbul lah rancangan untuk tubuh Kelab atau Persatuan untuk Anak Medan yang ada bekerja atau menetap di Melaka. Rancangan awal untuk buat open house di Aidil Fitri nanti. Maka daripada 11 anak Medan yang hadir pada malam tersebut telah sebulat suara melantik Abang Misdom yang bekerja sebagai tenaga pengajar di UTEM Melaka sebagai Penghulu anak Medan di Melaka. Besarlah harapan kami agar sesiapa sahaja anak Medan dapat menyertai kami. Daripada sembang-sembang bersama rakan-rakan lain sememangnya ramai lagi anak-anak Medan yang juga bekas warga SMKSM ada bekerja dan menetap di Melaka. Apalah kiranya dapat dipertemukan untuk merapatkan silaturahim sahabat handai darah anak Medan. Mana la tau kalau ada yang businessman yang berjaya atau bolehlah tolong menolong sesama kita. Sebagai contoh pada malam tersebut sahaja 5 orang merupakan anggota PDRM, 2 ATM, 2 pensyarah UTEM dan ADTEC dan seorang guru.....yang PDRM tu boleh jadi talian hayat....

Sehubungan dengan itu sesiapa anak Medan tidak kira tahun berapa anda di SMKSM boleh lah menghubungi saya 013-3940064 atau email raza6854@yahoo.com. Eratkan hubungan kawan-kawan bersama otai-otai kita yang juga pernah bersekolah di SMKSM.

Coretan : Mej Abd Razak – MK 10 Bgd Para
Pesanan Admin kepada Razak - Mohon majukan gambar dalam bentuk softcopy kerana gambar yang dalam artikel tidak dapat diterbikan.

Friday, August 6, 2010

BERKELANA DI KOTA BELUD SABAH


Dari 5 hingga 9 Ogos 2010 aku berkelana di Kota Belud Sabah kerana tugas. Di Kota Belud aku telah menginap di Kota Belud Travelers Lodge betul-betul di tengah pekan Kota Belud. Dari Hotel di tempat bertugas hanya dalam 200 meter sahaja. Sebenarnya tugas aku di sini adalah menyertai Ekspo Kerjaya, Pendidikan dan Inovasi Kementerian Pertahanan. Aku mewakili Maktab Tentera Diraja dalam ekspo ini telah bergerak dari Kuala Lumpur pada 05 Ogos 2010 jam 0800 dengan menaiki pesawat TUDM C 130 dari Pangkalan Udara Subang dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinbalu Terminal Dua pada hari sama. Penerbangan menaiki pesawat TUDM mengambil masa selama 4 jam untuk sampai di Kota Kinabalu Sabah.

Thursday, April 22, 2010

CORETAN SAYA - RANCANGAN TERBARU

Semalam petang 21 Apr 2010 pada jam 1630 saya telah keluar minum dengan Dr Akir, saya makan goreng pisang manakala Dr Akir memesan mee hoon sup. Dalam pertemuan singkat itu saya ada membuat cadangan untuk mengadakan satu majlis perjumpaan kepada semua bekas pelajar smksm yang berada di sekitara Lembah Kelang, seperti Khairulanuar, Kamarulediham, Pn Rokiyah, Pn Sofiah, Pn Azizah, Pn Norhabibah dan ramai lagi yang belum pernah terlibat dalam perjumpaan yang PEKASA anjurkan ini.

Saya percaya kepada kawan-kawan yang pernah terlibat akan dapat hadir termasuk En Razak Sipit dari Melaka pun pernah turun ke KL semata-mata untuk menjayakan program ini. Ini terbukti beliau pernah hadir semata-mata untuk bermain bowling di Mines. Untuk program ini masa, tarikh dan tempat masih belum ditentukan lagi tapi berkemungkinan dalam masa yang terdekat ini.

Mohon maklum balas kepada saya seperti alamat berikut: azmi.imc@rmc.edu.my, azmi_johor@yahoo.com, azmimedan@gmail.com

Tuesday, April 20, 2010

CORETAN SAYA - TEMAN LAMA

Semalam saya telah dapat no hp teman yang lama tidak dihubungi melalui Dr Norakir. Setelah dapat aje no tersebut melalui beliau saya terus menghubungi no tersebut 017-7xxxx17 dan beliau terus menjawab siapa disana. Saya terus memperkenalkan diri dan berbual mengenai kisah-kisah lama. Kalau tidak silap saya hampir 20 tahun saya tidak berjumpa beliau. Tapi alhamdullilah beliau masih seperti dulu lagi, seperti tahun 1987-88 semasa saya menjadi pengerusi persatuan seni lukis dan beliau sebagai orang no 3 dalam persatuan.
Cerita-cerita lama terkeluar dan kini bekerja di Tongkang Pecah (kalau tidak silap maklumat yang saya perolehi) dan tinggal di Pekan Seri Pasir, Seri Medan. Dari satu cerita ke satu cerita yang terbit dari perbualan tersebut. Dari kisah semasa bersekolah dahulu hinggalah ke waktu ini. Beliau telah mendirikan rumahtangga dan mempunyai 2 orang anak berusia 15 dan 13 tahun.
Walaupun berbualan saya tidak lama tapi saya berasa cukup gembira kerana dapat menghubungi beliau. Mungkin jika saya balik kampung saya akan mengunjungi beliau di Pekan Seri Pasir dan bolehlah bersembang panjang. Orang yang saya maksudkan ini adalah bekas pelajar SMKSM tingkatan 5 A 1 tahun 1988, bekas setiausaha kelab seni lukis. En Saharuddin bin Razak.

Monday, April 12, 2010

HARI MINGGU DI SERI MEDAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Pada hari Sabtu 10 Apr 2010 saya dan keluarga telah dapat meluangkan masa untuk menjenguk keluarga di Kg Parit Singgahan Seri Medan. Saya bergerak dari rumah di Kem Sungai Besi tepat pada jam 1800 (6 petang). Perjalanan mengambil masa lebih kurang 3 jam. Pandu cermat jiwa selamat. Al maklumlah aku memandu bukan untuk berlumba, kelajuan purata aku dalam 100 kmj aje. Tapi ada kalanya kalau boring memandu aku belasah sampai 160 kmj. Itu pun dalam jarak 1 ke 2 km aje. Tidak boleh bawa laju kerana keluarga diutamakan.
Saya sampai di rumah (Taman Universiti, Parit Raja) lebih kurang jam 2100. Tapi kecewa juga sebab TV aku dirumah Parit Raja rosak. Mujur la internet ada boleh la layan. Keesokannya aku telah berkesempatan untuk balik ke Seri Medan dan singgah di Pekan Seri Medan meninjau pasar minggu. Hajat hati dapatlah jumpa member-member lama tapi tiada seorang pun yang nampak. Mungkin juga aku sampai dah hampir tengahari.





Kekadang tu aku tersenyum sendiri memikirkan betapa Pekan Seri Medan ni tidak banyak berubah dari dahulu dan masih mengekalkan bangunan-bangunan lama. Tidak dinafikan ada juga bangunan-bangunan baru yang telah dibina bersebelahan balai polis dan boleh dikatakan itu adalah Pekan Baru (Kalau tidak setuju maafkan saya). Kedudukan tapak pasar aje yang telah berubah. Semasa aku bersekolah dahulu di SMKSM (Kekadang SMSM) tahun 1983-1988 tapak pasar minggu adalah dihadapan gerai MARA sehingga sampai ke Pejabat MCA (jika menjelang hari raya).

Masa telah berubah, dan disini saya ada juga pernah memuatkan berita mengenai "Pekan Seri Medan tiada mesin ATM" yang telah saya ambil dari Akhbar Berita Harian. Diharap kepada sesiapa yang berkenaan sila ambil tindakan yang sewajarnya. Kasihani la warga Seri Medan kerana untuk berurusan kena pergi ke Parit Sulong, Yong Peng dan juga bandar Batu Pahat.

Berbalik kepada artikel yang telah Dr Norakir postkan, memang semasa saya di sekolah adalah 1 - 2 hasil kerja yang telah saya siapkan. Sebagai Pengerusi Kelab Seni Lukis pada tahun 1988 saya telah dapat berkerjasama dengan Cikgu Norazmi bin Hashim dan juga setiausaha kelab iaitu Saharuddin (dulu panggil Budin aje - Parit Terus) telah berusaha untuk memajukan kelab. Kini aku cuba untuk menceburi lagi bidang ni iaitu bidang fotografi dan videografi, salah satu cabang seni.

Sunday, April 11, 2010

SEBARIS AYAT SECAWAN KOPI

Antara yang cekal dan berjaya;

Assalamualaikum dan salam sejahtera;


Sekali lagi bertemu dalam coret-coret sebaris ayat secawan kopi. Kebiasaanya hujung minggu begini saya di kampung samada di Seri Medan atau Senggarang. Minggu ini saya dan isteri membuat keputusan untuk berehat sahaja di rumah. Sambil menunggu isteri saya menyediakan cekodok pisang dan kopi O yang sememangnya menjadi kegemaran dan minuman asasi saya sejak dulu. Sambil-sambil melayan kerenah Hakimi permata hati kami, saya tekan-tekan butang keyboard untuk pojok petang minggu ini.

Malam Sabtu lepas saya tertidur awal kerana keletihan sepanjang minggu. Lebih jam 11.45 malam tidak silap saya telefon bimbit berbunyi. Antara dengar dan tidak saya yang sememangnya dalam keadaan mamai tidur menyambut telefon yang diserahkan oleh isteri sambil bertanya; siapa? Jawap isteri saya: Dr. Fauzi, pendek! Saya sambut telefon bimbit dan tanpa memegang saya letakkan di telinga sambil berbaring mengering. Saya kurang mengingati isi bait-bait dialog perbualan kami namun apa yang pasti beliau menjemput saya ke Perasmian Group Exhibition, Department of Art, Faculty of Art & Music, UPSI. Katanya pameran itu berlangsung di alamat NN Gallery, No. 53A & 56 Jalan Sulaiman 1, Taman Ampang Hilir, 68000 AMPANG, Selangor dari 06 April 2010 hingga 30 April 2010. Saya percaya sebahagian dari kita seperti Mohd Asik Saim, Shamsuri Jumain, Noorhabibah Kassim, Norhana, Salhayatin, Jeffry Selamat dan ramai lagi yang berada di Tingkatan 6, Sessi 1989 dan 1990 di High School BP pasti amat mengenali gambar lelaki yang bersama saya dalam gambar di bawah. Beliau adalah rakan sekelas saya semasa di Tingkatan 6, amat rapat dengan saya kerana kami duduk di meja sama. Kenangan manis kami amat banyak yang kadang-kala membuatkan saya tersenyum sendirian apabila sesekali terkenang. Saya juga percaya bagi lepasan SMKSM 1987 yang memasuki High School BP sessi 1988 – 1989 seperti Rokiyah Ahmad dan rakan-rakan juga mengenali beliau kalaupun tidak sekurang-kurangnya pernah melihat beliau.


Lelaki yang saya maksudkan adalah Dr. Mohd Fauzi Sedon @ M.Don. Orang begitu ringkas tidak lekang dengan topi besbal dan beg pinggang, berseluar jean dan T-Shirt tanpa kolar sejak saya kenali dan beberapa kali saya bertemu beliau sejak kami bertemu semula tahun lalu. Sejak kami keluar dari High School BP hanya beberapa kali kami bertemu; pertama pada tahun 1992 di Hentian Bas Klang, waktu itu beliau di di ITM Shah Alam dan saya, Shamsuri dan Supalil di Institut Teknologi Udara, Kinrara, Puchong. Silap saya waktu itu tidak mengambil alamat dan nombor telefon. Cuma perlu diingat waktu itu teknologi telefon bimbit bukan seperti sekarang, hanya ahli-ahli perniagaan besar yang mampu menggunakan telefon atur dengan nombor 010. Saiz dan beratnya umpama kotak simpanan peluru yang kami gunakan dalam latihan senaman perang semasa menjalani latihan asas tentera dahulu. Kali kedua kami bertemu hanyalah tahun lalu, itupun melalui seorang lagi rakan sekelas saya di High School, Suhaimi Sulaiman yang sekarang menjadi Pengurus di Sharp BP yang kebetulan adik kepada Dr. Fauzi bekerja bersama Suhaimi melalui perbualan yang tidak disangka. Beliau mendapat nombor telefon saya melalui adiknya yang diberikan Suhaimi. Beliau menelefon saya dan berjanji bertemu di Pasaraya Carrefour BP, kebetulan waktu itu hujung minggu yang mana kami sama balik kampung. Kami bertemu di Kopitiam Rengit. Waktu saya bertemu semula beliau sejak sekian lama kami tidak bertemu saya sedang bertungkus-lumus mentiapkan tesis akhir saya. Saya tidak mengetahui beliau baru sahaja menamatkan pengajian PhD-nya. Turut bersama kami, Suhaimi. Kami berbual panjang sehingga Kopitiam tutup dan kami berpindah ke kedai bersebelahan pula dengan mengimbau kisah-kisah silap kami yang membuat kami ketawa besar malam itu, antaranya kisah saya tidak hadir kelas tambahan subjek Sejarah. Masih kami ingat antaranya kisah berikut:

a. Guru kami Puan Shima bertanya; “Norakir kenapa tak dating kelas? Jawapku mudah; mak saya suruh meracun rumput cikgu. Tanyanya kembali; “Berapa besar kebun awak? Tangkas jawapku; “Ada kot cikgu dalam 10 ekar, lalu mengundang gelak ketawa kelas. Kisah kenakalan saya memang tidak padam kerana selepas itu Puan Shima merajuk sehingga 3 bulan tidak mengajar kami.


b. Dalam subjek Pengajian Am kami diajar oleh Puan Hanim (sekarang Pengetua Sekolah Menengah Parit Hj. Hassan Seri Gading yang mana Pengetua pada rakan kita Cikgu Mohd Asik Saim sekarang). Dalam satu topik Demokrasi Berpelembagaan Puan Hanim menyebut; “Demokrasi Berpelembagaan telah dipelopori dan dimulai di Perancis pada abad ke 17 oleh King… King… King…, 3 kali Puan Hanim cuba mengingati nama itu lalu saya sambut dengan “King Kong cikgu”. Puan Hanim dengan nada selamba berkata, “Hah! King Kong tu awak…” Hampir pecah perut kami sekelas gelak waktu itu sehingga menghentikan pelajaran seketika.


Dua kisah ini amat saya ingati sehingga kini dan saya percaya ada lagi rakan-rakan sekelas dari SMKSM masih mengingati seperti Mohd Asik, Noorhabibah, Norhana dan beberapa lagi. Saya pernah mendengar cerita Mohd Asik sewaktu beliau melanjutkan pelajaran di UPSI sekitar penghujung 1990an, beliau ada bertemu Dr. Fauzi di sana. Beberapa bulan lalu sewaktu saya dalam perjalanan pulang dari Butterworth selepas mengajar dan memonitor Exercise Search & Rescue, skuadron menyelamat TUDM bersama pasukan komunikasi serta Pasukan Khas (PASKAU) TUDM, saya sempat singgah bertemu beliau di Tanjung Malim. Kami minum di sebuah restauran yang saya lupa namanya bersama dua orang pensyarah UPSI. Salah seorangnya adalah Saudara Azam Dungun, seorang komposer lagu terkenal. Kami minum dan berbual sehingga hampir waktu Maghrib sebelum Dr. Fauzi mengajak saya singgah di rumahnya untuk solat.


Untuk pengetahuan semua Dr. Fauzi sekarang adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Seni & Muzik, UPSI, juga merupakan antara artis seni halus yang mempunyai nama besar dalam industrinya. Telah membuat banyak pameran di dalam dan luar negara seperti United Kingdom, Hong Kong, Australia, Taiwan dan banyak lagi negara. Gambar-gambar yang saya sertakan ini adalah sebahagian daripada keratan pada buku pameran yang dikeluarkan oleh NN Gallery serta gambar kami bersama sebaik peresmian Pameran oleh YBhg Dato’ Azian Mohd Noh, CEO Tabung Persaraan. Dr. Fauzi adalah lepasan Diploma dan Ijazah Seni Halus dari UiTM dulunya ITM. Kemudian melanjutkan pelajaran pada peringkat Sarjana di University of Birmingham, UK dan PhD di University of Tasmania, Australia. Sebenarnya saya juga mempunyai latarbelakang yang sama seperti beliau semasa di High School BP tetapi kekangan masa, ekonomi dan keluarga membuatkan kami membawa haluan sendiri. Apa yang saya catatkan sejak awal tadi bukanlah kerana untuk memuji dan memuja tetapi ada asas untuk saya menulisnya pertama kerana ramai kalangan rakan-rakan dari SMKSM belajar sekelas bersamanya di High School BP mahupun kumpulan yang sama. Kedua saya ingin menyampaikan mesej bahawa sesiapa yang tekun, teliti, berusaha dan minat dalam bidangnya bakal menikmati hasilnya kemudian hari. Beliau seorang yang meminati seni sejak di bangku sekolah, berusaha meletakan dirinya di landasan yang betul dan tidak sekali-kali lari dari asasnya, dan akhirnya mengecapi hasilnya. Masih saya ingat dan jika ditanya kalangan rakan seperti Mohd Asik dan Shamsuri pasti menganggukkan kepala jika saya katakan pada tahun 1989 – 1990 semua langskap dan abstrak yang ada di bangunan sekolah adalah hasil kerja tangan beliau kerana setiap kali saya datang ke sekolah hujung minggu beliau memegang berus cat ditangan. Mengingatkan cerita seumpama itu saya diimbau kenangan di mana Azmi merupakan pelajar paling aktif seni semasa di SMKSM. Banyak jasa beliau kepada sekolah terutama membantu Cikgu Norazmi Hasyim mengerakan Kelab Seni Lukis dan menghias bangunan sekolah dengan imej-imej abstrak, sehingga ada yang berkata semua imej dan abstrak yang indah itu adalah hasil tangannya sebalik goresan dan contengan itu milik saya. Itu kisah lama, saya percaya jika beliau meneruskan aktiviti seni selepas meninggalkan sekolah pasti beliau telah pergi jauh. Cuma saya fikir kekangan-kekangan tertentu meletakan kita di sini, bimbingan dan peluang waktu itu agak terbatas tidak seperti sekarang di mana banyak pilihan dapat kita buat. Oleh yang demikian apa yang saya coretkan dari awal tadi jangan dijadikan umpama satu perbandingan apa yang kita capai selama ini kerana kita telah berusaha dan mencuba selebihnya Allah S.W.T menetapkanya. Jangan sesekali kita mengukur apa yang dicapai dengan harta benda dan wang ringgit kerana ia akan merosakan diri dan pemikiran kita. Jadi, janganlah perbandingan kita buat untuk diri kita sebaliknya jadikan iktibar bagaimana kita harus menyusun langkah anak-anak kita kelak.


Pada usia awal 40an belum terlambat untuk kita berfikir dan berusaha untuk terus ke hadapan tetapi agak terlewat untuk kita mencari kerjaya, jadi teruskan langkah kita untuk menjadi yang lebih baik dari semalam agar rezeki yang kita cari lebih sempurna dan bermakna. Dalam satu kertas kerja yang saya siapkan untuk YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Petronas saya ada mencatatkan bahawa peristiwa semasa Revolusi Iran yang mana kebergantungan kepada pihak lain akan menjadikan pengangkutan domestik Iran lumpuh seketika apabila pesawat-pesawat helicopter “Offshore” yang disewa dari pihak asing lari meninggalkan Iran apabila revolusi memuncak ketika itu. Jadi kita perlu kuat untuk mara ke hadapan, berfikir dan peka kepada ruang yang ada. Seorang revolusenor Iran yang yang ditahan semasa di penjara pernah berkata yang antara lain maksudnya begini, “Jika beliau gagal merubah anak bangsanya ketika ini maka generasinya akan berjaya 25 tahun akan datang”. Maksud lain yang boleh kita ambil darinya adalah; jika kita hari ini tidak dapat mencapai apa yang kita inginkan pastikan anak-anak kita berjaya mencapainya. Purata satu generasi untuk melahirkan generasi seterusnya adalah 25 tahun kerana manusia berkahwin pada asasnya apabila berusia awal 20an. Maka generasi berikut akan berubah selepas 25 tahun berikutnya pula. Kesimpulanya kenyataan pemimpin revolusi itu ada benarnya kerana selepas lebih 40 tahun peristiwa itu berlangsung Republik Iran menjadi negara digeruni ketika ini. Kita fikirkan bersama.


Sehingga bertemu di catatan seterusnya.

SEBARIS AYAT SECAWAN KOPI


Assalamualaikum & Salam Sejahtera;


Tanggal (baca betul-betul yerr, bukan penanggal atau tertanggal yang bermaksud tercabut) 24 Mac 2010 - Rabu, lebih kurang jam 6.40 petang saya sedang memandu lori (maksudku Ford Ranger kesayangan, maklumlah belum cukup hisab untuk berhutang Mercedes atau BMW) pulang dari pejabat. Dalam pada itu kepala berputar memikirkan rancangan esok hari, bercampur-baur pula dengan strategi yang kurang menjadi hari itu. Tiba-tiba “TITT” Blackberry-ku (yang saya beli guna card credit – menandakan hutang yang bertambun) berbunyi menandakan ada SMS masuk. Sambil tangan kanan memegang “stering”, tangan kiri mencapai telefon terus ibu jari menekan “button” telefon. Dalam pada itu saya sentiasa waspada kerana nyawa saya hampir melayang dan kereta berderai gara-gara SMS di Batu 14, Puchong 2 tahun lalu. Dalam hati terlintas siapa pula kerana nombor yang tertera 012-754XXXX, berdasar angka 7 membawa pengenalan nombor berdaftar di negeri Johor. Degup-degap jantung kerana sayalah orang yang sentiasa risau dan curiga akan sebarang panggilan telefon dan sms yang membawa berita-berita cemas dan duka. Saya baca bait demi bait yang antara lainnya berbunyi “Assalamualaikum, khabarnya duduk Kajang, aku kursus di Bangi. Anuari Khairi”. Dalam kepala berfikir; Oh! Pastinya di Pusat Latihan RHB di Kg Abu Bakar Baginda di Bangi kerana setahu saya beliau bekerja di RHB. Kali terakhir saya bertemu beliau di Kaunter RHD Bank Batu Pahat pada 1993 untuk membayar pinjaman ASB, yang mana waktu itu saya masih bersama TUDM dan bertugas di Butterworth. Lalu jari telunjuk dan ibu jari pantas membalas SMS: “Ok I called you on 8, will pick up u at PL RHB Bangi”.


Tempat jam 8.15 malam (janji Melayu 8.00 akan menjadi 8.15) saya keluar rumah, sampai di Sg Chua saya menelefon Anuari menyatakan saya dalam perjalanan. Entah apa silapnya ketika itu telefon bimbit saya berbunyi memberikan amaran bateri lemah dengan nyalaan merah. Hah! Sudah kata hati saya. Masuk ke kawasan pusat-pusat latihan di Bangi saya berhenti di hadapan Pusat Latihan BSN, bukan apa cucuk kad ambil duit kerana wang tunai kehabisan. Sampai di hadapan PL RHB Anuari telah menunggu bersama seorang kawan walaupun suasana di situ agak gelap saya terus berhenti di hadapan dua lelaki yang berdiri di situ yang saya jangkakan Anuari. Memang tepat tidak syak lagi, saya turunkan cermin dan memberi Salam dan mempelawa masuk. Berlakulah adegan bersalaman dan bertanya khabar tetapi tiada adegan cium pipi, “huhuhu”. Saya terus menekan minyak menghala Bandar Baru Bangi. Melepasi simpang Plaza Tol Kajang, melewati lampu insyarat ke arah Seksyen 8. Lalu saya katakan, “kita makan di Dusun yang terkenal dengan panggilanRestauran Gear Box”. Selepas memakir kereta kami memilih meja di bahagian hadapan. Sebaik sahaja membuat pesanan nasi putih, Kailan Ikan Masin, Telur Dada, Tom Yom Campur dan Ayam Goreng Kunyit saya tergerak menelefon Khairul Anuar Jaafar (Mayol) yang tinggal di Seksyen 3. Anuari agak terkejut bila saya katakan Mayol tinggal di Bangi. Untuk makluman Mayol dan Anuari rakan sekelas dari Tingkatan 1 hingga 3, sebelum Mayol ke SMVBP. Panggilan disambut isteri Mayol yang kebetulan merupakan staf saya di pejabat. Saya bertanya Khairul Anuar ada, jawapnya ada lalu menyerahkan telefon. Saya tanpa bercerita panjang terus kepada topik cerita dengan nada berlawak; saya katakan, “Yol ni ada kawan lama nak jumpa, aku bagi ko masa 15 minit untuk sampai di Gear Box”. Selepas menelefon Mayol saya mendial nombor telefon Azmi Ahmad, sayangnya panggilan tidak berangkat. Sambil menunggu Mayol kami makan bertiga sambil berbual kosong. Dalam tempoh 20 minit Mayol sampai dan berlakulah sekali lagi adegan bersalaman dan bertanya khabar kecuali adegan cium pipi. Saya minta Mayol membuat pesanan, beliau tidak mahu makan kerana katanya baru makan malam lalu memesan The O Limau Panas.

Kami rancak berbual berkaitan topik saya sendiri tidak ingat sepenuhnya, jadi tidaklah saya dapat menyatakan di sini. Sedang rancak berbual Kol (B) Khairudin, sahabat yang saya anggap umpama saudara sendiri kebetulan datang ke restauran yang sama bersama keluarga. Sesudah memesan makanan beliau sempat menyertai kami, kemudian makan dan menyertai kami semula. Lebih kurang jam 11.00 malam beliau minta diri meninggalkan kami berempat. Kami terus rancak bersembang dan memesan minuman panas tambahan. Sehingga hampir jam 11.55 malam saya cadangkan untuk bergerak pulang kerana Anuari dan sahabatnya perlu menghadiri kelas keesokan harinya. Saya terus membuat bayaran dan kami berpisah dengan Mayol di situ dan menghantar Anuari dan sahabat ke PL RHB Kg Abu Bakar Baginda, Bangi. Saya menurunkan Anuari di PL RHB dan berpesan jila ada kelapangan malam esok boleh keluar minum teh.

Beberapa hari selepas bertemu Anuari saya menelefon Azmi menyatakan saya bertemu Anuari dan Mayol malam itu. Azmi agak terkejut dan katanya amat rugi tidak turut serta. Lalu saya berpesan “Lain kali kalau aku telefon, jawap sebelum telefon berbunyi”. Azmi tergelak besar, cuma saya tidak dapat mengangak saiz bukaan mulutnya ketika itu atas dua faktor:

Pertama; Saya tidak berada di hadapannya ketika itu.

Kedua; Saya tidak memiliki alat pengukur.


Sehingga bertemu lagi.

Tuesday, April 6, 2010

SRI MEDAN TIADA MESIN ATM

Ketiadaan mesin sukarkan 10,000 penduduk jalankan urus niaga harian

SRI MEDAN: Ketiadaan cawangan bank mahupun mesin pengeluaran wang (ATM) di pekan ini sejak dulu, merumitkan lebih 10,000 penduduk di sini menjalankan urus niaga harian berikutan mereka perlu ke kawasan berhampiran sama ada di pekan Yong Peng atau Batu Pahat yang masing-masing terletak antara 15 hingga 20 kilometer dari sini.

Penduduk di kawasan berkenaan yang mengandungi 11 kampung induk serta lebih 20 kampung rangkaian juga terpaksa menempuh perjalanan sejauh itu semata-mata untuk mengeluarkan wang untuk perbelanjaan harian mahupun jika kehabisan wang. Mesin ATM berhampiran pula hanya di stesen minyak di pekan di Parit Yaani iaitu kira-kira 10 kilometer dari Sri Medan yang sudah tentu bukan saja menyukarkan golongan yang tidak mempunyai kenderaan, malah warga tua. Apa yang menghairankan kawasan Sri Medan sebenarnya terkenal kerana berjaya melahirkan ramai pengusaha Bumiputera yang terbabit dalam pelbagai perusahaan industri kecil dan sederhana selain kewujudan beberapa ladang sawit yang diusahakan sendiri penduduk yang mampu mendapatkan hasil lumayan.

Namun, malangnya tiada pula perkhidmatan perbankan berminat mahu menawarkan perkhidmatan mereka kepada pelanggan di kawasan terbabit sedangkan kawasan berkenaan amat berpotensi besar untuk diteroka.

Peniaga, Masunu Buang, 49, berkata ketiadaan bank mahupun mesin ATM di pekan berkenaan amat dirasai disebabkan kerancakan pembangunan aktiviti ekonomi di kawasan sekitarnya.

“Jika dilihat dengan mata kasar memang pekan ini kelihatan seperti pekan mati tetapi hakikatnya banyak perusahaan dan perniagaan yang diusahakan penduduk wujud di kampung sekitar kawasan ini daripada perusahaan makanan seperti kuih tradisional, kerepek, herba malah ada ladang ternakan lembu serta kambing yang diusahakan dengan berskala besar di sini.
Pembantu kedai, Imratul Saleha Kadis,18, berkata ketiadaan bank mahupun ATM menyukarkan golongan pekerja sepertinya untuk sama ada mengeluarkan wang gaji untuk perbelanjaan, membuat tabungan mahupun pelaburan.

“Setiap kali mahu mengeluarkan gaji, saya terpaksa menumpang rakan mahupun menaiki teksi kerana saya tidak mempunyai pengangkutan untuk ke bank di bandar mahupun mesin ATM berhampiran, ” katanya.

Peniaga makanan, Suryati Kasri, 42, berkata ketiadaan cawangan bank dan mesin ATM di pekan berkenaan menyebabkan ada ketikanya beliau terpaksa meninggalkan perniagaan buat sementara waktu bagi menyelesaikan urusan di bank sebelum kembali ke kedai.

“Saya ada kalanya terpaksa meninggalkan perniagaan kepada pekerja walaupun ketika waktu ramai pelanggan kerana perlu berurusan dengan bank untuk membayar ansuran pinjaman, memasukkan gaji pekerja dan sebagainya yang kadang-kala mengambil masa sehingga setengah hari, ” katanya.

Sumber:http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SriMedantiadaATM/Article

Friday, April 2, 2010

EDITING VIDEO

Pada 15 hingga 19 Mac 2010 yang lepas saya telah berpeluang untuk mengikuti bengkel penerbitan video profesional bertempat di Asenia Resort, Langkawi. Dalam bengkel itu saya telah didedahkan dalam banyak aspek dan juga tip-tip yang perlu kita ikuti bila kita mahu membuat sesuatu video. Bengkel pada kali ini telah menggunakan program Edius yang mana ianya banyak perbezaan dengan beberapa porgram yang pernah saya gunakan untuk membuat video.

Sebelum ini saya pernah menggunakan program, adobe premier pro, pro 2, CS 3 serta pinaccle, video movie maker (anak saya pun boleh gunakan) dan yang terkini Edius 5. Sebelum ini saya telah mengikuti kursus Edius 5 selama 5 hari dengan bayaran RM 1,000.00 untuk 1 hari (kalau saya x lupa la)

Kepada member-member yang mahu membuat video bolehlah mendapatkan perkhidmatan dari saya. Untuk pengetahuan semua, jika ada memdapatkan perkhidmatan diluar harganya memang mahal kerana untuk memperolehi ilmu ni pun berbaloi.

Ok kita jumpa di lain kali. bye