Sunday, April 11, 2010

SEBARIS AYAT SECAWAN KOPI

Antara yang cekal dan berjaya;

Assalamualaikum dan salam sejahtera;


Sekali lagi bertemu dalam coret-coret sebaris ayat secawan kopi. Kebiasaanya hujung minggu begini saya di kampung samada di Seri Medan atau Senggarang. Minggu ini saya dan isteri membuat keputusan untuk berehat sahaja di rumah. Sambil menunggu isteri saya menyediakan cekodok pisang dan kopi O yang sememangnya menjadi kegemaran dan minuman asasi saya sejak dulu. Sambil-sambil melayan kerenah Hakimi permata hati kami, saya tekan-tekan butang keyboard untuk pojok petang minggu ini.

Malam Sabtu lepas saya tertidur awal kerana keletihan sepanjang minggu. Lebih jam 11.45 malam tidak silap saya telefon bimbit berbunyi. Antara dengar dan tidak saya yang sememangnya dalam keadaan mamai tidur menyambut telefon yang diserahkan oleh isteri sambil bertanya; siapa? Jawap isteri saya: Dr. Fauzi, pendek! Saya sambut telefon bimbit dan tanpa memegang saya letakkan di telinga sambil berbaring mengering. Saya kurang mengingati isi bait-bait dialog perbualan kami namun apa yang pasti beliau menjemput saya ke Perasmian Group Exhibition, Department of Art, Faculty of Art & Music, UPSI. Katanya pameran itu berlangsung di alamat NN Gallery, No. 53A & 56 Jalan Sulaiman 1, Taman Ampang Hilir, 68000 AMPANG, Selangor dari 06 April 2010 hingga 30 April 2010. Saya percaya sebahagian dari kita seperti Mohd Asik Saim, Shamsuri Jumain, Noorhabibah Kassim, Norhana, Salhayatin, Jeffry Selamat dan ramai lagi yang berada di Tingkatan 6, Sessi 1989 dan 1990 di High School BP pasti amat mengenali gambar lelaki yang bersama saya dalam gambar di bawah. Beliau adalah rakan sekelas saya semasa di Tingkatan 6, amat rapat dengan saya kerana kami duduk di meja sama. Kenangan manis kami amat banyak yang kadang-kala membuatkan saya tersenyum sendirian apabila sesekali terkenang. Saya juga percaya bagi lepasan SMKSM 1987 yang memasuki High School BP sessi 1988 – 1989 seperti Rokiyah Ahmad dan rakan-rakan juga mengenali beliau kalaupun tidak sekurang-kurangnya pernah melihat beliau.


Lelaki yang saya maksudkan adalah Dr. Mohd Fauzi Sedon @ M.Don. Orang begitu ringkas tidak lekang dengan topi besbal dan beg pinggang, berseluar jean dan T-Shirt tanpa kolar sejak saya kenali dan beberapa kali saya bertemu beliau sejak kami bertemu semula tahun lalu. Sejak kami keluar dari High School BP hanya beberapa kali kami bertemu; pertama pada tahun 1992 di Hentian Bas Klang, waktu itu beliau di di ITM Shah Alam dan saya, Shamsuri dan Supalil di Institut Teknologi Udara, Kinrara, Puchong. Silap saya waktu itu tidak mengambil alamat dan nombor telefon. Cuma perlu diingat waktu itu teknologi telefon bimbit bukan seperti sekarang, hanya ahli-ahli perniagaan besar yang mampu menggunakan telefon atur dengan nombor 010. Saiz dan beratnya umpama kotak simpanan peluru yang kami gunakan dalam latihan senaman perang semasa menjalani latihan asas tentera dahulu. Kali kedua kami bertemu hanyalah tahun lalu, itupun melalui seorang lagi rakan sekelas saya di High School, Suhaimi Sulaiman yang sekarang menjadi Pengurus di Sharp BP yang kebetulan adik kepada Dr. Fauzi bekerja bersama Suhaimi melalui perbualan yang tidak disangka. Beliau mendapat nombor telefon saya melalui adiknya yang diberikan Suhaimi. Beliau menelefon saya dan berjanji bertemu di Pasaraya Carrefour BP, kebetulan waktu itu hujung minggu yang mana kami sama balik kampung. Kami bertemu di Kopitiam Rengit. Waktu saya bertemu semula beliau sejak sekian lama kami tidak bertemu saya sedang bertungkus-lumus mentiapkan tesis akhir saya. Saya tidak mengetahui beliau baru sahaja menamatkan pengajian PhD-nya. Turut bersama kami, Suhaimi. Kami berbual panjang sehingga Kopitiam tutup dan kami berpindah ke kedai bersebelahan pula dengan mengimbau kisah-kisah silap kami yang membuat kami ketawa besar malam itu, antaranya kisah saya tidak hadir kelas tambahan subjek Sejarah. Masih kami ingat antaranya kisah berikut:

a. Guru kami Puan Shima bertanya; “Norakir kenapa tak dating kelas? Jawapku mudah; mak saya suruh meracun rumput cikgu. Tanyanya kembali; “Berapa besar kebun awak? Tangkas jawapku; “Ada kot cikgu dalam 10 ekar, lalu mengundang gelak ketawa kelas. Kisah kenakalan saya memang tidak padam kerana selepas itu Puan Shima merajuk sehingga 3 bulan tidak mengajar kami.


b. Dalam subjek Pengajian Am kami diajar oleh Puan Hanim (sekarang Pengetua Sekolah Menengah Parit Hj. Hassan Seri Gading yang mana Pengetua pada rakan kita Cikgu Mohd Asik Saim sekarang). Dalam satu topik Demokrasi Berpelembagaan Puan Hanim menyebut; “Demokrasi Berpelembagaan telah dipelopori dan dimulai di Perancis pada abad ke 17 oleh King… King… King…, 3 kali Puan Hanim cuba mengingati nama itu lalu saya sambut dengan “King Kong cikgu”. Puan Hanim dengan nada selamba berkata, “Hah! King Kong tu awak…” Hampir pecah perut kami sekelas gelak waktu itu sehingga menghentikan pelajaran seketika.


Dua kisah ini amat saya ingati sehingga kini dan saya percaya ada lagi rakan-rakan sekelas dari SMKSM masih mengingati seperti Mohd Asik, Noorhabibah, Norhana dan beberapa lagi. Saya pernah mendengar cerita Mohd Asik sewaktu beliau melanjutkan pelajaran di UPSI sekitar penghujung 1990an, beliau ada bertemu Dr. Fauzi di sana. Beberapa bulan lalu sewaktu saya dalam perjalanan pulang dari Butterworth selepas mengajar dan memonitor Exercise Search & Rescue, skuadron menyelamat TUDM bersama pasukan komunikasi serta Pasukan Khas (PASKAU) TUDM, saya sempat singgah bertemu beliau di Tanjung Malim. Kami minum di sebuah restauran yang saya lupa namanya bersama dua orang pensyarah UPSI. Salah seorangnya adalah Saudara Azam Dungun, seorang komposer lagu terkenal. Kami minum dan berbual sehingga hampir waktu Maghrib sebelum Dr. Fauzi mengajak saya singgah di rumahnya untuk solat.


Untuk pengetahuan semua Dr. Fauzi sekarang adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Seni & Muzik, UPSI, juga merupakan antara artis seni halus yang mempunyai nama besar dalam industrinya. Telah membuat banyak pameran di dalam dan luar negara seperti United Kingdom, Hong Kong, Australia, Taiwan dan banyak lagi negara. Gambar-gambar yang saya sertakan ini adalah sebahagian daripada keratan pada buku pameran yang dikeluarkan oleh NN Gallery serta gambar kami bersama sebaik peresmian Pameran oleh YBhg Dato’ Azian Mohd Noh, CEO Tabung Persaraan. Dr. Fauzi adalah lepasan Diploma dan Ijazah Seni Halus dari UiTM dulunya ITM. Kemudian melanjutkan pelajaran pada peringkat Sarjana di University of Birmingham, UK dan PhD di University of Tasmania, Australia. Sebenarnya saya juga mempunyai latarbelakang yang sama seperti beliau semasa di High School BP tetapi kekangan masa, ekonomi dan keluarga membuatkan kami membawa haluan sendiri. Apa yang saya catatkan sejak awal tadi bukanlah kerana untuk memuji dan memuja tetapi ada asas untuk saya menulisnya pertama kerana ramai kalangan rakan-rakan dari SMKSM belajar sekelas bersamanya di High School BP mahupun kumpulan yang sama. Kedua saya ingin menyampaikan mesej bahawa sesiapa yang tekun, teliti, berusaha dan minat dalam bidangnya bakal menikmati hasilnya kemudian hari. Beliau seorang yang meminati seni sejak di bangku sekolah, berusaha meletakan dirinya di landasan yang betul dan tidak sekali-kali lari dari asasnya, dan akhirnya mengecapi hasilnya. Masih saya ingat dan jika ditanya kalangan rakan seperti Mohd Asik dan Shamsuri pasti menganggukkan kepala jika saya katakan pada tahun 1989 – 1990 semua langskap dan abstrak yang ada di bangunan sekolah adalah hasil kerja tangan beliau kerana setiap kali saya datang ke sekolah hujung minggu beliau memegang berus cat ditangan. Mengingatkan cerita seumpama itu saya diimbau kenangan di mana Azmi merupakan pelajar paling aktif seni semasa di SMKSM. Banyak jasa beliau kepada sekolah terutama membantu Cikgu Norazmi Hasyim mengerakan Kelab Seni Lukis dan menghias bangunan sekolah dengan imej-imej abstrak, sehingga ada yang berkata semua imej dan abstrak yang indah itu adalah hasil tangannya sebalik goresan dan contengan itu milik saya. Itu kisah lama, saya percaya jika beliau meneruskan aktiviti seni selepas meninggalkan sekolah pasti beliau telah pergi jauh. Cuma saya fikir kekangan-kekangan tertentu meletakan kita di sini, bimbingan dan peluang waktu itu agak terbatas tidak seperti sekarang di mana banyak pilihan dapat kita buat. Oleh yang demikian apa yang saya coretkan dari awal tadi jangan dijadikan umpama satu perbandingan apa yang kita capai selama ini kerana kita telah berusaha dan mencuba selebihnya Allah S.W.T menetapkanya. Jangan sesekali kita mengukur apa yang dicapai dengan harta benda dan wang ringgit kerana ia akan merosakan diri dan pemikiran kita. Jadi, janganlah perbandingan kita buat untuk diri kita sebaliknya jadikan iktibar bagaimana kita harus menyusun langkah anak-anak kita kelak.


Pada usia awal 40an belum terlambat untuk kita berfikir dan berusaha untuk terus ke hadapan tetapi agak terlewat untuk kita mencari kerjaya, jadi teruskan langkah kita untuk menjadi yang lebih baik dari semalam agar rezeki yang kita cari lebih sempurna dan bermakna. Dalam satu kertas kerja yang saya siapkan untuk YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Petronas saya ada mencatatkan bahawa peristiwa semasa Revolusi Iran yang mana kebergantungan kepada pihak lain akan menjadikan pengangkutan domestik Iran lumpuh seketika apabila pesawat-pesawat helicopter “Offshore” yang disewa dari pihak asing lari meninggalkan Iran apabila revolusi memuncak ketika itu. Jadi kita perlu kuat untuk mara ke hadapan, berfikir dan peka kepada ruang yang ada. Seorang revolusenor Iran yang yang ditahan semasa di penjara pernah berkata yang antara lain maksudnya begini, “Jika beliau gagal merubah anak bangsanya ketika ini maka generasinya akan berjaya 25 tahun akan datang”. Maksud lain yang boleh kita ambil darinya adalah; jika kita hari ini tidak dapat mencapai apa yang kita inginkan pastikan anak-anak kita berjaya mencapainya. Purata satu generasi untuk melahirkan generasi seterusnya adalah 25 tahun kerana manusia berkahwin pada asasnya apabila berusia awal 20an. Maka generasi berikut akan berubah selepas 25 tahun berikutnya pula. Kesimpulanya kenyataan pemimpin revolusi itu ada benarnya kerana selepas lebih 40 tahun peristiwa itu berlangsung Republik Iran menjadi negara digeruni ketika ini. Kita fikirkan bersama.


Sehingga bertemu di catatan seterusnya.

No comments: