Sunday, April 11, 2010

SEBARIS AYAT SECAWAN KOPI


Assalamualaikum & Salam Sejahtera;


Tanggal (baca betul-betul yerr, bukan penanggal atau tertanggal yang bermaksud tercabut) 24 Mac 2010 - Rabu, lebih kurang jam 6.40 petang saya sedang memandu lori (maksudku Ford Ranger kesayangan, maklumlah belum cukup hisab untuk berhutang Mercedes atau BMW) pulang dari pejabat. Dalam pada itu kepala berputar memikirkan rancangan esok hari, bercampur-baur pula dengan strategi yang kurang menjadi hari itu. Tiba-tiba “TITT” Blackberry-ku (yang saya beli guna card credit – menandakan hutang yang bertambun) berbunyi menandakan ada SMS masuk. Sambil tangan kanan memegang “stering”, tangan kiri mencapai telefon terus ibu jari menekan “button” telefon. Dalam pada itu saya sentiasa waspada kerana nyawa saya hampir melayang dan kereta berderai gara-gara SMS di Batu 14, Puchong 2 tahun lalu. Dalam hati terlintas siapa pula kerana nombor yang tertera 012-754XXXX, berdasar angka 7 membawa pengenalan nombor berdaftar di negeri Johor. Degup-degap jantung kerana sayalah orang yang sentiasa risau dan curiga akan sebarang panggilan telefon dan sms yang membawa berita-berita cemas dan duka. Saya baca bait demi bait yang antara lainnya berbunyi “Assalamualaikum, khabarnya duduk Kajang, aku kursus di Bangi. Anuari Khairi”. Dalam kepala berfikir; Oh! Pastinya di Pusat Latihan RHB di Kg Abu Bakar Baginda di Bangi kerana setahu saya beliau bekerja di RHB. Kali terakhir saya bertemu beliau di Kaunter RHD Bank Batu Pahat pada 1993 untuk membayar pinjaman ASB, yang mana waktu itu saya masih bersama TUDM dan bertugas di Butterworth. Lalu jari telunjuk dan ibu jari pantas membalas SMS: “Ok I called you on 8, will pick up u at PL RHB Bangi”.


Tempat jam 8.15 malam (janji Melayu 8.00 akan menjadi 8.15) saya keluar rumah, sampai di Sg Chua saya menelefon Anuari menyatakan saya dalam perjalanan. Entah apa silapnya ketika itu telefon bimbit saya berbunyi memberikan amaran bateri lemah dengan nyalaan merah. Hah! Sudah kata hati saya. Masuk ke kawasan pusat-pusat latihan di Bangi saya berhenti di hadapan Pusat Latihan BSN, bukan apa cucuk kad ambil duit kerana wang tunai kehabisan. Sampai di hadapan PL RHB Anuari telah menunggu bersama seorang kawan walaupun suasana di situ agak gelap saya terus berhenti di hadapan dua lelaki yang berdiri di situ yang saya jangkakan Anuari. Memang tepat tidak syak lagi, saya turunkan cermin dan memberi Salam dan mempelawa masuk. Berlakulah adegan bersalaman dan bertanya khabar tetapi tiada adegan cium pipi, “huhuhu”. Saya terus menekan minyak menghala Bandar Baru Bangi. Melepasi simpang Plaza Tol Kajang, melewati lampu insyarat ke arah Seksyen 8. Lalu saya katakan, “kita makan di Dusun yang terkenal dengan panggilanRestauran Gear Box”. Selepas memakir kereta kami memilih meja di bahagian hadapan. Sebaik sahaja membuat pesanan nasi putih, Kailan Ikan Masin, Telur Dada, Tom Yom Campur dan Ayam Goreng Kunyit saya tergerak menelefon Khairul Anuar Jaafar (Mayol) yang tinggal di Seksyen 3. Anuari agak terkejut bila saya katakan Mayol tinggal di Bangi. Untuk makluman Mayol dan Anuari rakan sekelas dari Tingkatan 1 hingga 3, sebelum Mayol ke SMVBP. Panggilan disambut isteri Mayol yang kebetulan merupakan staf saya di pejabat. Saya bertanya Khairul Anuar ada, jawapnya ada lalu menyerahkan telefon. Saya tanpa bercerita panjang terus kepada topik cerita dengan nada berlawak; saya katakan, “Yol ni ada kawan lama nak jumpa, aku bagi ko masa 15 minit untuk sampai di Gear Box”. Selepas menelefon Mayol saya mendial nombor telefon Azmi Ahmad, sayangnya panggilan tidak berangkat. Sambil menunggu Mayol kami makan bertiga sambil berbual kosong. Dalam tempoh 20 minit Mayol sampai dan berlakulah sekali lagi adegan bersalaman dan bertanya khabar kecuali adegan cium pipi. Saya minta Mayol membuat pesanan, beliau tidak mahu makan kerana katanya baru makan malam lalu memesan The O Limau Panas.

Kami rancak berbual berkaitan topik saya sendiri tidak ingat sepenuhnya, jadi tidaklah saya dapat menyatakan di sini. Sedang rancak berbual Kol (B) Khairudin, sahabat yang saya anggap umpama saudara sendiri kebetulan datang ke restauran yang sama bersama keluarga. Sesudah memesan makanan beliau sempat menyertai kami, kemudian makan dan menyertai kami semula. Lebih kurang jam 11.00 malam beliau minta diri meninggalkan kami berempat. Kami terus rancak bersembang dan memesan minuman panas tambahan. Sehingga hampir jam 11.55 malam saya cadangkan untuk bergerak pulang kerana Anuari dan sahabatnya perlu menghadiri kelas keesokan harinya. Saya terus membuat bayaran dan kami berpisah dengan Mayol di situ dan menghantar Anuari dan sahabat ke PL RHB Kg Abu Bakar Baginda, Bangi. Saya menurunkan Anuari di PL RHB dan berpesan jila ada kelapangan malam esok boleh keluar minum teh.

Beberapa hari selepas bertemu Anuari saya menelefon Azmi menyatakan saya bertemu Anuari dan Mayol malam itu. Azmi agak terkejut dan katanya amat rugi tidak turut serta. Lalu saya berpesan “Lain kali kalau aku telefon, jawap sebelum telefon berbunyi”. Azmi tergelak besar, cuma saya tidak dapat mengangak saiz bukaan mulutnya ketika itu atas dua faktor:

Pertama; Saya tidak berada di hadapannya ketika itu.

Kedua; Saya tidak memiliki alat pengukur.


Sehingga bertemu lagi.

No comments: