Monday, December 22, 2008

SEBARIS AYAT SECAWAN KOPI

MEMORI INDAH TANAH SUCI

Apa yang ingin saya catatkan di sini adalah hasil daripada satu e-mail daripada Oked pada Jumaat, October 10, 2008 3:00 PM yang menyentuh berkenaan ibadah umrah. Insyallah kalau diizinkan kesempatan dan dipermurahkan rezeki hajat memang cukup besar untuk kunjungan ke Tanah Suci kali kedua mungkin rezeki belum menyebelahi. Rezeki bukan sekadar wang ringgit tetapi kelapangan juga rezeki. Punyai banyak mana wang belum menentukan kita menjejakkan kaki ke sana jika tidak diizinkan Allah S.A.W. Itu kata-kata YBhg Ustaz Hassan Al-Hafiz, masih tergiang-giang di telingaku. Kenangan di Tanah Suci cukup indah, tenang dan menjadikan saya kagum dengan kebesaran ciptaan Allah S.W.T. Terlupa seketika hiruk pikuk kota yang memcemuhkan dan keduniaan yang melalaikan, beban kerja yang memenatkan dan masalah persekitaran yang menekan.

Pengalaman saya pertama kali sampai ke Tanah Suci Mekah masih terbayang-bayang depan mata. Saya bersama ibu dan isteri dengan kecetikan ilmu di dada dan kejahilan dari Kuala Lumpur KLIA jam 6.30 pagi dan transit ke Dhaka, Bangladesh. Di Dakar kami menginap di Hotel Zakaria, perut terasa amat lapar lalu terus dijamu dengan nasi berlauk kari ikan, kuah dal berulam cili dan timun. Perut yang sedang lapar tidak banyak perkiraan terus makan tetapi memang sedap masakan itu. Seterusnya berlepas ke Jeddah dari dari Dhaka dan sampai di sana lebih kurang jam 2 ke 3 pagi. Selepas urusan dokumentasi terus menaiki bas ke Madinah. Saya lupa jam berapa sampai ke Madinah tetapi kalau tidak silap sudah menghampiri waktu Zohor (jika tidak silap perjalanan mengambil masa sekitar 4 jam). Dalam perjalanan ke Madinah kami singgah di hentian yang saya lupa namanya untuk solat subuh dan sarapan pagi. Cuaca agak sejuk hingga terasa ke tulang. Sampai di Madinah terus check-in hotel bersiap untuk Solat Jumaat kerana waktu itu hari Jumaat. Jarak hotel penginapan lebih kurang 600 meter dari Masjid An-Nabawi, masjid kedua termulia dan suci selepas Masjidil Haram di Mekah. Masjid An-Nabawi menempatkan makam Rasullullah S.A.W bersama dua khalifah yang juga sahabat Baginda iaitu Syaidina Abu Bakar as-Siddiq dan Syaidina Umar al-Khattab. Di atasnya betul-betul khubah besar masjid berwarna hijau. Kebiasaanya anggota polis seramai 4 atau 5 orang akan berkawal di hadapan makam Rasulullah S.A.W untuk mengelakkan laluan sebagaimana saya nyatakan di gambar bawah daripada sesak dengan jemaah yang berhenti untuk memberikan salam kepada Baginda Rasulullah S.A.W. Jemaah yang memberikan salam dan berdoa biasanya tidak dibenarkan berhenti terlalu lama dan anggota keselamatan tidak membenarkan jemaah berdoa mengangkat tangan dengan menghadap makam, mereka akan berteriak “HARAM”, “HARAM, “HARAM”. Saya percaya ini disebabkan oleh fahaman makhub mereka kerana mereka khuatiri kita bermohon kepada yang selain dari Allah S.W.T. Di hadapan hotel penginapan jelas kelihatan dengan hanya jarak sekitar 100 meter adalah perkuburan Suhada atau dikenali Pemakaman Baqi. Pemakaman Baqi menempatkan persemadian hampir 10,000 para sahabat Rasulullah S.A.W, isteri dan anak-anak Baginda, Tabiin dan juga pengikut-pengikut Rasulullah S.A.W yang berjuang menegakkan syariah Islam. Masjib An-Nabawi cukup besar dan luas, sayup mata memandang, sejuk dan menginsafkan dan memberikan ketenangan. Sepanjang jalan antara hotel dan Masjib An-Nabawi adalah kedai dan gerai menjual pakaian, kain, kurma dan kitab-kitab suci, Al-Quran dan buku. Makam Rasullullah S.A.W sentiasa di kawal ketat anggota keselamatan dengan jarak hanya beberapa puluh meter dari mimbar yang dikatakan mimbar asal Masjib Nabawi sewaktu dibina oleh Rasullulah S.A.W dan para sahabat. Mimbar itu adalah mimbar di mana Rasulullah S.A.W memberikan khutbah. Anggaran saya kalau tidak silap sekitar 25 ke 35 meter sahaja jarak di antara kediaman Rasullulah S.A.W dengan mimbar Masjib. Kawasan di antara kediaman Rasulullah S.A.W dan mimbar Baginda dipanggil sebagai Raudah. Raudhah adalah satu tempat yang mulia di dalam Masjid Nabawi, selain menjadi tempat Rasulullah dan sahabat beribadat dan tempat turunnya wahyu kepada Rasulullah ia juga merupakan sebuah taman dari taman-taman syurga…kedudukan Raudhah adalah antara rumah Rasulullah dan Saidatina Aisyah dengan mimbarnya. Panjangnya ialah sekitar 22 meter dan lebarnya pula 15 meter, bermula dari mihrab Rasulullah hingga ke akhir rumah tersebut disebelah utara.


Masjid An-Nabawi, Madinah. Makam Rasulullah S.A.W
betul-betul berada di bawah khubah hijau

Pintu di hadapan makam Rasulullah S.A.W, ruang kosong
yang kelihatan adalah jalan jemaah keluar dari Masjid An-Nabawi

Kawasan Raudhah dapat dibezakan dengan kawasan masjib yang lain kerana ianya diletakkan dengan karpet berwarna hijau berbanding kawasan lain berwarna merah. Disebut Masjid Nabawi kerana Nabi Muhammad S.A.W. selalu menyebutnya dengan kalimah, "Masjidku ini", pada setiap kali baginda menerangkan tentang sebuah masjid yang sekarang berada di pusat kota Madinah. Sabda Rasulullah S.A.W:" Sembahyang di masjidku ini lebih utama daripada sembahyang seribu kali di masjid lain kecuali Masjidil Haram". Dalam satu riwayat lain, Nabi bersabda," Barang siapa sembahyang di masjid 40 waktu tanpa terputus, maka ia pasti selamat dari neraka dan segala siksa dan selamat dari sifat munafik". Masjid ini didirikan oleh Nabi S.A.W. dan sahabat-sahabat baginda pada tahun pertama hijrah (622M) seluas 1050 meter persegi, iaitu di sisi di sebelah barat rumah baginda yang sekarang rumah itu menjadi makam baginda dan termasuk dalam bangunan masjid. Berziarah ke Masjid Nabawi ini adalah masyru' dan dikira termasuk ibadat. Penyataan ini adalah sesuai dengan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Janganlah kau mementingkan kepergian kecuali kepada tiga masjid, iaitu Masjidil Haram, Masjidku ini dan Masjid Aqsa'. Masjid Aqsa’ adalah masjid yang terdapat di Baitulmuqadis, Palestin yang seringkali kita lihat di media elektronik yang menjadi perebutan antara palestin dan Yahudi. Masjid ini memiliki khutbah berwarna keemasan (maaf kerana keluar dari maksud tulisan ini tetapi untuk sekadar menambah pengetahuan). Berdasarkan sedikit pembacaan dan pemerhatian saya di sana, dapat dijelaskan begini:

Kalau kita berada di Raudhah dan menghadap kiblat, bererti di sebelah kiri kita adalah bangunan empat persegi berwarna hijau tua. Bangunan ini awal mulanya dua buah rumah, iaitu rumah Rasulullah S.A.W dengan Saidatina 'Aisyah dan rumah Saidina Ali dengan Saidatina Fatimah. Sejak Rasulullah S.A.W wafat pada tahun 11 hijrah (632M), rumah Baginda terbahagi dua. Bahagian arah kiblat (bahagian selatan) untuk makam Nabi dan yang bahagian utara tempat tinggal Saidatina 'Aisyah. Rumah ini sejak tahun 678 hijrah (1279 M) di atasnya dipasang kubah hijau (Dom) hingga sekarang. Jadi di bawah kubah hijau inilah jasad Nabi Muhammad S.A.W dimakamkan. Ini bermakna kalau kita melihat kubah hijau bererti kita melihat makam Nabi S.A.W. Kemudian Saidina Abu Bakar (Khalifah Pertama) dan Saidina Umar (Khalifah Ke-2) juga dimakamkan di rumah itu dekat dengan makam Nabi S.A.W. Ini bermakna setengah daripada rumah Nabi S.A.W. itu sekarang ada tiga makam.


Bersama ibu di hadapan Masjid An-Nabawi, Madinah
dengan pakaian ihram bersiap bertolak ke Mekah

Sepanjang lima hari berada di Kota Madinah saya tidak pernah tertinggal atau terlepas solat lima waktu di dalam kawasan Raudah ini, SYUKUR ALHAMDULILAH. Kawasan ini sentiasa dipenuhi jemaah pada sebilangan masa apabila masjib dibuka, jemaah sentiasa berebut-rebut dan kadang kala sehingga bertolak dan berhimpit. Pada suatu ketika ketika saya berdiri sambil mata ligat mencari ruang kosong yang sememangnya amat sukar didapati, tiba-tiba seorang lelaki Arab dalam lingkungan 50an ke 60an melambaikan tangan dan menginsutkan punggungnya sambil menepuk karpet masjid memberikan ruang untuksaya bersolat. Jemaah Arab setengahnya amat arif dengan jemaah dari Malaysia dan Indonesia. Saya juga mendapat dua kali peluang bersolat sunat dan sekali solat fardu di betul-betul hadapan mimbar asal Masjib Nabawi, ALHAMDULILAH itulah nikmat yang Allah S.W.T berikan. Pengalaman yang cukup hebat di situ pelbagai kerenah dan sifat manusia kerana kita dari pelbagai makhaz. Kadangkala kalau mengikut kita Ahli Sunah Waljamaah dan Imam Shafie sudah tidak ada tertib sembahyang kerana masing-masing berebut ruang yang hanya boleh menempatkan 3 atau 4 orang jemaah untuk bersolat. Kadangkala boleh dilihat kita sujud jemaah lain melangkau kita atau melintas depan kita sehingga anggota berkuasa terjerat marah.

Semasa di Madinah sempat juga melawat ladang unta dan minum susu unta, mula macam tak sanggup minum tapi bila rasa sekali, sedap, lemak... habis sebotol. Harga sebotol susu unta saiz botol mineral kecil sekitar 5 Riyal Saudi, tapi itu lokasi yang mana bas parking dan menurunkan penumpang tetapi yang jauh sikit biasanya dalam 3 Riyal sahaja. Pak Arab pun bijak business. Selain itu sempat juga melawat ladang kurma dan masjid-masjid penting dalam sejarah Islam umpamanya:

· Masjid Qiblatin – Dikenali juga sebagai masjid 2 kiblat, satu kiblat menghadap Masjidil Aqsa di Palestin dan satu menghadap Masjidil Haram, Mekah. Kiblat yang menghadap Masjid Aqsa adalah kiblat asal umat Islam sebelum Rasulullah S.A.W menrima wahyu untuk menukarkan kiblat ke arah Masjidil Haram di Mekah. Di dalam Syurah Al-Baqarah ayat 144 bunyi bermaksud: “Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram, dan dimana sahaja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arasnya.” Ayat ini turun ketika Rasulullah S.A.W menunaikan solat Zohor di sini. Maka pada ketika solat itu Baginda berpaling menghadap Kaabah. Pada sekitar tahun 1987 masjid ini dikatakan telah diubahsuai untuk memberikan keselesaan pada jemaah. Kesan mimbar asal yang menghadap Masjid Aqsa sudah tidak kelihatan kerana pengubahsuaian tersebut tetapi saya ditunjukan arah tersebut yang menjadi pintu masuk utama masjid pada ketika ini di mana sepotong ayat Al-Quran digantung di atasnya. Kedudukan dua kiblat ini bolehlah saya katakana membelakangkan satu sama lain. Bacalah buku berkaitan untuk jelas mengapa wujud 2 kiblat.

· Masjid Quba – Masjid pertama yang dibina dalam sejarah Islam berasaskan Taqwa dan Iman yang padu. Dalam satu riwayat yang sahih Rasulullah selalu ke Masjid Quba pada tiap-tiap hari sabtu samaada dengan menaiki unta ataupun berjalan kaki. Adakalanya Rasulullah pergi pada hari Isnin dan Khamis. Rasulullah juga bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berwudhu dirumahnya, kemudian pergi ke Masjid Quba untuk bersolat, akan diberi pahala seperti menunaikan Umrah.” Masjid ini terlatak diperkampungan Quba kira-kira 3KM dari arah selatan Bandar Madinah. Nama Quba di ambil nama dari sebuah telaga yang berada ditempat itu. Masjid ini berbentuk empat persegi dan luas kawasannya kira-kira 5035 meter persegi. Ketika Rasulullah tiba diperkampungan Quba dalam perjalanan Hijrah dari Makkah ke Madinah, Baginda tinggal disana empat hari bersama Bani Amru bin Auf dirumah Kalthum bin Al-Hadm. Pada hari pertama itulah baginda terus membina Masjid Quba yang menjadi masjid pertama dibina dalam sejarah umat ini. Tempat solat Rasulullah. Mihrab yang ada sekarang bukanlah tempat solat Rasulullah. Menurut ahli sejarah As Samhudi dan Ibnu Abi Laila, tempat solat Rasulullah terletak dibahagian timur tiang yang rosak dan barisan tiang baru telah diletakkan berhampiran Mihrab itu.



Di dalam Masjid Quba

· Bukit Uhud – Mengikut sejarah Bukit Uhud adalah di mana berlakunya Perang Uhud pada tahun ketiga Hijrah antara tentera Islam dengan Quraisy. Quraisy dengan kekuatan 3000 tentera dari Mekah manakala tentera Islam seramai 1000 orang. Di Bukit Uhud 50 orang dari pasukan memanah di arah berkubu dan tidak meninggalkan lokasi sehingga diarahkan. Ketika tentera Muslim mula menunjukkan akan memenangi perang itu, mereka telah meninggalkan Bukit Uhud untuk memungut harta tinggalan perang. Akhirnya musuh menyerang balas yang menyebabkan Rasulullah S.A.W tercedera dan 70 tentera Islam terkorban seterusnya dimakamkan di situ.


Penulis bersama ibu dan isteri berlatarbelakangkan Bukit Uhud
menghadap Perkuburan Syuhada yang terkorban semasa Perang Uhud


Hari kelima bertolak ke Kota Mekah menaiki bas terus berpakaian Ihram mengambil masa 6 jam. Sepanjang perjalanan 6 jam tersebut semua pemandangan kiri kanan jalan adalah padang pasir dan juga gurun batu, insaf dan kagum bagaimana Rasulullah S.A.W dalam sejarah Hijrahnya bersama para sahabat mampu bergerak dengan hanya berjalan kaki serta menaiki unta, dikatakan mengambil masa sebulan dalam peristiwa Hijrah Rasulullah S.A.W dari Madinah ke Mekah. Saya cuba membuat perbandingan perjalanan sebulan penuh dengan ancaman dan dugaan itu dengan 6 jam dengan menaiki bas melalui lebuhraya 8 lorong. Saya pernah membaca buku berkenaan Pendita Za'ba yang di tulis oleh Tan Sri Prof Dr. Ismail Hussien (Ketua 1 GAPENA) yang memceritakan ibadah Haji Pendita Za'ba yang menaiki bas dari Madinah ke Mekah mengambil masa 4 hari melalui padang pasir tanpa jalan raya pada tahun sekitar 1930an lalu saya bayangkan ketiga-tiga perjalanan itu. Kita bayangkan perbezaannya. Dalam perjalanan berhenti di Bir Ali untuk makan tengahari dengan hidangan Nasi Beryani, makan sedulang 4 orang dengan ayam seekor tergolek-golek bulat, memang sedap dan menyelerakan. Solat Zohor di situ seterusnya memasang niat. Dalam perjalanan kita bertalbiah:




Maksudnya: - "Hamba-Mu datang menyambut panggilan-Mu, Ya Allah hamba-Mu datang menyambut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala puji-pujian dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaan-Mu yang tiada sekutu bagi-Mu"

Ketika itu bagi siapa yang menghayati talbiah sudah cukup untuk menginsafkan dan menitiskan airmata betapa kita terlalu kecil di bumi Allah ini. Apabila sudah memasang niat kita kena sentiasa berwaspada jangan melakukan perkara-perkara yang dilarang. Teruskan perjalanan dan sampai di Kota Mekah pada waktu menghampiri Asar. Ketika di dalam bas memasuki Kota Mekah aku was-was diterimakah aku di Tanah Suci ini, tanggungjawap aku cukup berat dengan ilmu yang kosong di dada dan jahilnya aku selama ini, aku membimbing dan menjadi imam kepada Ibu dan isteriku. Takut jelas dalam hati, apakah ujian yang aku harus ditempoh.

Kalau berdasarkan cerita mereka yang telah sampai ke sini juga majalah dan buku-buku yang aku baca menakutkan aku. Tetapi sebelum bertolak aku cuma menetapkan niat di hati segala ujian Allah itu harus aku tempoh. Niat aku mudah: "Aku ingat menjadi yang lebih baik dari semalam dan aku ingin perbaiki diri aku kerana Allah S.W.T". Syukur sampai setakat itu semuanya lancar. Terlihat sahaja binaan Masjidil Haram aku terdiam sejenak terus membacakan doa sebagaimana perlu dibaca sebaik melihat Kota Mekah. Sebenarnya aku seperti tak percaya aku berada di situ anak kampung yang tak punya apa-apa dan tak pernah termimpi untuk menjejakan kaki ke sana.

Bas berhenti terus check-in hotel, Hotel Asia kalau tidak silap berhampiran pintu 62 untuk masuk ke Masjil Haram, dekat sahaja dalam jarak 30 meter dari hotel. Selepas check-in yang mengambil masa sekitar 20 minit terus turun berkumpul di bawah untuk memasuki Masjidil Haram, sejak dari Bir Ali kena lebih berhati-hati lebih-lebih lagi sebaik memasuki Kota Mekah dengan melintasi Masjid Ta'nim di mana itu adalah penada kepada kawasan halal dan haram dan juga salah satu tempat niat umrah dipasang selain lima lokasi berniat yang lain. Terdapat 13 pantang larang yang perlu dijaga kalau silap kena DAM sebab kita sudah dalam niat IHRAM. Tidak bayar DAM tidak sah ibadat kita dan terhutang pula dengan Allah S.W.T kita nanti. Memasuki pintu 62 selepas menuruni tangga masuk pintu kedua terus terlihat jelas Kaabah walaupun bukan sepenuhnya kerana terlindung oleh tiang-tiang aku bacakan doa melihat Kaabah terus menitis airmata betapa insafnya aku akan segala dosa yang pernah dilakukan dan terasa begitu kecilnya diri kita. Cukup sayu dan hiba ketika itu, memang menitis, meleleh air mata kagum dengan kebesaran Allah S.W.T. dan keEsaannya yang mencipta alam ini.

Kalau tidak silap aku, kami terus buat tawaf 7 pusingan bermula dengan penjuru Kaabah yang terletak Hajar Aswad ditandakan dengan lampu hijau di hujung sebelah dalam jarak 80 meter terus Istilam Hajar Aswad melambaikan Kaabah dengan kedua tangan isyarat mengucup Hajar Aswad. Buat 7 pusingan dengan setiap pusingan ada bacaan yang perlu dibaca. Selesai di situ berdekatan Makam Nabi Ibrahim ada amalan lain perlu di buat antaranya doa di Multazam dan Solat Sunat Tawaf dan Doa. Seterusnya Solat Sunat di dan doa di Hijir Ismail (bukan wajib kecuali ada kelapangan dan tempat). Hijir Ismail adalah kawasan di dalam binaan yang melekung separuh bulatan 180 darjah di depan atas dinding Kaabah terdapat Talang Air tempat air mengalir ketika hujan. Sepanjang berada di Mekah saya dapat bersembahyang di dalam kawasan Hijir Ismail antara 4 ke 5 kali, bukan senang untuk dapat tempat kerana berasak-asak maka perlu bijak mencari ruang dengan keizinan Allah S.W.T. Selepas solat sunat dan doa terus pergi ke tempat air zam-zam disediakan dan minum sambil menghadap pintu Kaabah dan berdoa mohon keberkatan rezeki, keselamatan, kemudahan segala urusan dan kejayaan. Antara doa yang saya pohon dari Allah S.A.W adalah mohon dikurniakan cahayamata kerana pada ketika itu usia saya sudah menghampiri 37 tahun dan sudah masuk tahun ketiga berumahtangga. Alhamdulilah Allah S.A.W memabolkan doa saya beberapa bulan setelah kembali mengerjakan umrah isteri saya disahkan mengandung setelah puas berusaha dengan pelbagai cara tradisional dan moden. Tanggal 13 September 2007 bersamaan 1 Ramadhan 1428H tepat jam 7.15 petang takala azan Maghrib berkumandang di Masjib Jamik Kajang berhampiran Kajang Plaza Medical Centre (KPMC) menandakan waktu berbuka puasa pada 1 Ramadhan putera sulungku selamat dilahirkan yang ku saksikan sendiri dengan berat 4.2 Kg. Permata hatiku itu ku namakan Norimran Hakimi bin Norakir. Aku mengucap kesyukuran kehadrat Allah S.A.W kerana kedua ibu dan bayi selamat walapun memerlukan bantuan vacuum kerana bayi ku cukup besar. Terima kasih Prof. Madya Dr. Jamil Mohd Shariff, Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan (O&G) KPMC. Ucapan terima kasih tak terhingga juga kepada Datuk Dr. Hamid Arshad, Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan (O&G) yang ku anggap terulung di negara ini ketika ini yang telah memberikan khidmat nasihat dan rawatan kepada isteriku sejak pulang dari Mekah (maaf kerana terkeluar dari cerita asal namun itulah adalah antara tujuan saya ke Mekah).

Norimran Hakimi (15 bulan); simbol harapan & perjuangan ku


Selesai ibadah tawaf terus menuju ke Safa dan Marwah untuk ibadah Saie. Berdasarkan pengamatan saya ibadah Saie lebih mencabar berbanding tawaf. Seringkali sewaktu Saie-lah jemaah akan mengalami pecah-pecah kulit tapak kaki yang menyakitkan dan menyukarkan melakukan ibadah. Bagaimanapun apa yang ada di situ banyak membantu jemaah kerana kerajaan Arab Saudi telah meletakkan hawa dingin dan juga laluan Saie yang berbatu marmar dan memiliki dua tingkat. Tingkat atas lebih selesa kerana tidak ramai jemaah namun anda mungkin tidak dapat merasai laluan mendaki bukit di Safa dan Marwah. Saya bersama isteri menolak kerusi roda ibu yang mengalami sedikit masalah jika berjalan berasak-asak. Ibadah Saie bermula di Bukit Safa menuju Marwah, kebanyakan jemaah memang dibekalkan buku kecil panduan ibadah bagi memudahkan bacaan doa semasa ibadah. Perjalanan dari Safa ke Marwah dikira satu perjalanan dan Marwah ke Safa dikira dua sehingga mencapai tujuh dengan berakhir di Marwah. Dalam perjalanan dari Safa ke Marwah pada suku perjalanan jemaah dikehendaki berlari-lari anak sempena mengingati peristiwa Siti Maryam meninggalkan Nabi Ismail dengan (ibu Nabi Ismail) berlari-lari anak mencari air untuk baginda. Kawasan berlari-lari anak ini ditandakan dengan lampu berwarna hijau di bahagian bumbung dan sisi kanan dan kiri atas dan lampu hijau juga pada bahagian yang jemaah berhenti dari berlari anak. Akhirnya Baginda mencuit-cuitkan kaki dan terpancutlah air dari bumi yang dikenali sehingga kini sebagai Telaga Zam-Zam. Sewaktu di Mekah pada waktu terluang yang tidak ada program khusus yang dijadualkan eloklah melakukan ibadah sunat bersendiri samada Tawaf Sunat, sembahyang-sembahyang sunat seperti Sunat Hajat, mengaji Al-Quran dan sebagainya.

Setelah cukup 7 perjalanan berakhir di Marwah saya berdoa sebagaimana dikehendaki dan akhirnya bertahalul (memotong anak rambut). Adalah lebih baik kita sentiasa membawa gunting kecil semasa menunaikan ibadah ini bagi memudahkan kita memotong anak rambut, sesetengah jemaah akan bercukur botak bagi yang lelaki selepas bertahalul. Pada ketika ini ramai orang-orang Arab (dewasa dan kanak-kanak) akan menawarkan diri untuk mengunting ramai anda tetapi selepas itu akan meminta bayaran yang tidak masuk akal ada yang sehingga 100 ke 200 Riyal, jika anda tidak memberinya mereka akan marah-marah.

Sehingga kita menyelesaikan bertahalul ibadah kita belum dikira selesai dan kita masih terikat dengan larangan-larangan dinyatakan awal tadi. Salah satu kesilapan kita kadangkala ialah menyentuh kelambu Kaabah semasa Tawaf. Anda akan dikenakan Dam jika menyentuh kelambu Kaabah sebelum Bertahalul kerana menyentuh kelambu dikira anda memakai wangi-wangian kerana kelambu Kaabah telah diletak wangian atau melihat ada kesempatan mencium Hajar Aswad lalu menciumnya yang mana pada ketika itu anda menyentuh kelambu Kaabah atau struktur binaan Kaabah. Antara perkara yang perlu kita berhati-hati yang kita tidak sengajakan semasa dalam niat ihram adalah wangi-wangian umpamanya semasa dalam dalam ihram sewaktu turun dari hotel dan menunggu kenderaan tiba-tiba ada peniaga minyak wangi menarik tangan anda dan menyembur wangian yang dijual atau seseorang yang memakai minyak wangi menghulurkan tangan ingin bersalam. Jika anda bersalam dan kemudiannya anda mencium angan anda berbau wangi maka anda juga perlu membayar Dam. Satu kali Dam bersamaan niai seekor kambing.

Dikatakan jika anda menunaikan ibadah umrah dan berjaya melakukan sebanyak 7 kali niat dan bertahalul maka pahalanya bersamaan pahala Haji. Alhamdulilah semasa di sana saya berjaya melakukan sebanyak 12 kali. Namun untuk mencapai angka 12 memerlukan keazaman dan dugaan kerana tumit kaki dan tapak kaki pecah-pecah yang menyakitkan dan berdungkit-dungkit semasa berjalan maka aku lebih banyak berlari anak semasa Saie jika melakukan ibadah berseorangan. Samada diterima atau tidak ibadah kita hanya Allah S.A.W yang maha kuasa mengetahuinya. Semasa di Kota Mekah saya dan rombongan sempat menziarahi menziarah ke Padang Arafah, Mudzalifah, dan Mina, seterusnya ke Jabal Nur dan Jabal Rahmah. Saya juga berkesempatan melawat Masjid Hudaibiyah yang kelihatan agak uzur yang dikatakan Rasulullah S.A.W bersembahyang semasa peristiwa Perang Hudaibiyah yang berlangsungnya Perjanjian Hudaibiyah di situ. Dalam jarak beberapa kilometer dari masjid berkenaan terdapat satu perigi lama dari struktur batu yang telah kering namun cukup dalam dinamakan Perigi Hudaibiyah, dikatakan Rasulullah S.A.W dan tenteranya mandi dan berwuduk di situ.

Pada hari terakhir di Mekah sebelum bertolak pulang ke tanahair melalui Jeddah jemmah dikehendaki melakukan Tawah Wida atau Tawaf Selamat Tinggal. Pada waktu ini saya membenarkan ibu berjalan sendiri tanpa kerusi roda bagi menikmati sendiri keindahan ibadah itu, selepas bersolat sunat tanda selesai ibadah kita kali ini saya berdoa moga-moga perpisahan meningglkan Masjidil Haram itu tidak lama dan berkesempatan untuk datang lagi, namun sehingga aktikel ini disiarkan mungkin rezeki saya belum kesampaian. Akhir sekali saya membawa ibu untuk menyentuh kelambu Kaabah sebagai kenagan yang sukar dilupakan.

Bersama isteri di atas bukit di Jabal Rahmah

Kami berkumpul di hadapan hotel untuk menaiki bas menuju Jeddah. Perjalanan ke Jeddah mengambil masa kira-kira 3 jam dan kami singgah di masjid terampung di menjelang waktu Zohor. Saya tidak ingat jam berapa kami berlepas dari Jeddah dan akhir mendarat di Dhaka, Bangledesh untuk transit, menginap di hotel dan sambil meninjau-ninjau wajah sebenar ibu negara Bangledesh. Keseimpulanku, aku bersyukur menjadi warga tanahair tercinta ini. Berlepas dari Dhaka pada malam hari dengan Biman Airlines namun sekali lagi transit di Chittagong, Bandar pelabuhan terbesar Bangledesh sebelum meneruskan penerbangan ke KLIA, Sepang. Mendarat seleamat di KLIA jam 6.30 pagi. Alhamdulilah saya bersyukur di dalam mengerjakan ibadah ini saya juga ibu dan isteri tidak diduga dengan ujian-ujian yang getir. Alhamdulilah sekali lagi semua berjalan dengan lancar dan baik. Nasihatku kepada rakan-rakan yang ingin menunaikan ibadah umrah dapatkanlah pakej yang melakukan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Jeddah kerana ia tidak memenatkan. Selain mendapatkan kelas secukupnya pastikan juga bawa bersama ubat sapu bagi tumit kaki yang pecah dan juga ubat sapu gatal-gatal kerana perubahan cuaca akan merumitkan urusan ibadah kita namun ianya boleh didapati di farmasi di sana. Juga baju sejuk bergantung kepada musim kerana pada waktu umrah dan ziarah saya itu cuaca di Jeddah amat sejuk yang menyebabkan bibir kering dan pecah-pecah. Kesimpulanku dari ibadah ini ialah ianya amat berguna dan perlu sebelum menunaikan ibadah Haji kerana apa yang lalui cukup jelas namun itu saranan kepada bakal-bakal haji yang mampu bagi ramai orang sebaliknya kerana yang wajib adalah Haji yang merupakan Rukun Islam Kelima.



Di kaki bukit Jabal Nur, bukit yang tinggi terletaknya Gua Hira

Bersama penyampai sukan terkenal Haji Hasbullah Awang
semasa di Lapangan Terbang Jeddah

Akhir kata, mohon maaf jika apa yang saya catatkan di sini ada kekurangan dan kejanggalan kerana saya tidak mempunyai catatan khusus, apa yang saya catatkan ini sekadar apa yang saya ingati. Sekian…. Wasalam.


Masjidil Haram, Kota Suci Mekah, entah bila dapatku jejaki lagi?

No comments: