Tuesday, December 23, 2008

SEBARIS AYAT SECAWAN KOPI

KEMPEN BUMI HIJAU

Sebelum berpindah ke Kajang Perdana pada hujung Februari 2008 saya tinggal di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor. Pangsapuri murah yang saya beli semasa masih berkhidmat dengan kerajaan menggunakan kemudahan pinjaman kerajaan. Sewaktu menamatkan perkhidmatan dulu saya berpindah ke sana dengan memegang status “BUJANG” pada tahun 2002. Hanya pada tahun 2004 saya berumahtangga. Pulang dari kerja setiap hari naik ke rumah di tingkat 3 kadangkala mencemuhkan dan terasa malas untuk turun ke kedai dan sebagainya. Paling membuatkan saya naik angin apabila membuka paip air hanya dua tiga titik air yang keluar oleh kerana meter air di tingkat bawah seringkali menjadi bahan mainan kanak-kanak. Pada tahun 2003 pula sekitar kawasan Semenyih dan Beranang mengalami masalah bekalan air. Yang paling menderita tentunya penghuni pangsapuri. Maka ketika itu jugalah kedai-kedai menjual pam air tidak lekang melayan pelanggan termasuk saya membeli sebuah pam air elektrik berharga RM 105.00. Selama enam tahun tinggal di sana saya sering terbayang dan teringin bercucuk tanam jika ada tanah barang sekaki dua. Impian itu itu hanya menjadi kenyataan pada 2008. Sepatutnya dapat saya lalui lebih awal namun rumah teres yang dibeli di Lestari Puchong, Seri Kembangan / Puchong terbengkalai sehingga kini membantutkan impian saya. Yang kekal hanya bebanan hutang yang perlu dilunaskan setiap bulan. Itulah undang-undang jual beli hartanah di Malaysia, hak pembeli tidak terbela.

Apabila rezeki yang dikurniakan oleh Allah S.A.W bertambah, alhamdulilah saya berpeluang mencari rumah di Kajang Perdana setelah puas mencari dari Shah Alam, Sepang, Dengkil, Bukit Mahkota, Nilai dan akhir bertemu yang bersesuaian dengan bentuk, saiz dan harga yang berpatutan dengan kemampuan. Saya tidak akan mencari yang lebih dari apa yang termampu. Apa yang menjadi panduan saya dalam mencari kediaman ialah tidak melangkaui Bandaraya Kuala Lumpur kerana saya berasal dari selatan juga cuba mendapatkan kejiranan yang majoriti Melayu dan jika boleh mencari lokasi rumah yang tidak menghadap rumah satu sama lain. Tujuannya supaya persekitaran hadapan rumah tidak sesak dengan kenderaan lalu lalang dan yang diparkir. Dalam masa yang sama memudahkan kita jika saudara mara datang dan untuk tujuan kenduri kendara, selain itu mungkin wujud ruang atau tanah kosong yang saya impikan untuk bercucuk tanam. Maklumlah untuk membeli tanah kebun pada ketika ini tidak kemampuan.

Menunggu hasil yang pertama...........

Ketika mula berpindah dulu (Terima Kasih 45 dan Azmi kerana bermandi peluh membantu saya pindah) ruang tanah kosong di sebelah longkang air di hadapan rumah semak dengan rumput Napier (rumput gajah yang menjadi makanan lembu & kambing). Saya mulakan dengan menebas sedikit demi sedikit dan mencangkul menanam pokok Pisang Tanduk sebanyak lima pokok (sedang mengeluarkan hasil) yang saya bawa dari kampung mentua di Senggarang. Rumput yang mati saya kumpulkan dan bakar kemudian meracun sedikit demi sedikit dengan hanya menggunakan pam kecil racun serangga berkapasiti 2 liter. Pokok yang tumbuh sebesar paha saya tebang dengan parang pendek dan gergaji tangan. Setiap kali pulang ke kampung setiap hujung minggu saya akan bawa benih pisang dan apabila membeli ubi keladi untuk digoreng (saya memang peminat ubi keladi goreng) batang keladi lebihan yang tidak digunakan saya cucuk di hadapan rumah. Hasilnya seperti gambar di bawah. Itulah yang saya lakukan seterusnya sehingga jumlah pokok yang saya tanam sekarang mencapai angka 60 pokok pisang. Ada juga benih pisang yang disumbangkan jiran tetangga yang telah tinggal di sana lebih awal dari saya umpamanya benih Pisang Emas itu diberikan oleh seorang jiran di perumahan fasa awal, seorang lelaki Cina sekitar 60an. Beliau dan isteri gemar bercucuk tanam yang memenuhi tanah kosong di hadapan rumah. Beliau jugalah yang sering membelikan Baja Najis Kambing dengan nilai RM 5.00 seguni. Apabila saya pulang dari pejabat beliau telah meletakkan guna berisi baja di hadapan pintu pagar rumah. Benih pokok buah-buahan saya beli di Pasar Tani, Prima Saujana di hadapan kedai saya setiap hari Sabtu.

Sebelum saya pergi lebih jauh saya ingin menarik kembali ingatan kita kepada Kempen Bumi Hijau. Dalam pada ingat-ingat lupa saya terimbas kembali Subjek Sejarah semasa di kelas Peralihan, Tingkatan 1 dan 2 sekitar tahun 1983 hingga 1985. Saya masih ingat guru yang mengajar Puan Faridah Abu Bakar, seorang guru yang lembut bertahi lalat besar di atas bibir pernah mengajar satu tajuk Kempen Buku Hijau di era pentadbiran Perdana Menteri Kedua, Tun Abd Razak Hussein dalam kelas Sejarahnya. Kaedah penyampaian Puan Faridah berjaya menarik minat saya kepada subjek ini yang menjadi antara subjek “fauverite” saya semasa SRP 1986. Apabila saya naik ke tingkatan 4 dan 5, Cikgu Syed mengambil-alih peranan mengajar Sejarah. Seorang guru berketurunan Arab-Melayu yang berambut tipis atau dengan kata lain botak yang saya rasa amat ber-versatile. Kaedah beliau mengajar cukup “simple”. Sepanjang ingatan saya beliau tidak pernah membuka buku rujukan di kelas, namun beliau mampu membuat saya dan rakan-rakan ketawa pecah perut dari minit pertama hingga minit ke 60 setiap kali kelas. Beliau mengolah cerita sejarah itu menjadi satu penyampaian yang komedi atau kelakar yang akan terus diingati. Itulah yang saya perolehi hingga kini. Kepada bekas guru-guru Sejarah saya ini; “Terima Kasih Tidak Terhingga Cikgu” kerana memberikan saya A1 pada SRP 1986 dan SPM 1988.

Kita balik kepada Kempen Buku Hijau, dilancarkan semasa pemerintahan Tun Abd Razak dengan tujuan menggalakan “Amalan Bercucuk Tanam” dan berjimat cermat. Bertujuan menjadikan tanah-tanah milik Melayu berdaya maju dan produktif. Namun perubahan zaman mengubah keperluan dan matlamat kerajaan dan negara. Pada 19hb Oktober 2005, Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya bersetuju melancarkan semula dan menukarkan nama Kempen Buku Hijau kepada Kempen Bumi Hijau. Lihat keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 29 Mac 2006 yang saya lampirkan.





Pokok Jambu Madu Pokok Mangga


Pokok Rambutan Pokok Mata Kucing


Sebenarnya sebelum kempen ini dilancarkan semula sewaktu zaman kegawatan ekonomi 1997-98 kita telah melalui satu kegilaan atau keghairahan penanaman Hidroponik. Ramai rakyat begitu teruja menggunakan kaedah itu untuk bertanam sayur di rumah ketika itu, namun selepas beberpa tempoh ia seperti dilupakan sehinggalah kemelesetan ekonomi dan kenaikan harga minyak pada 2008 menjadikan kita ghairah kembali. Matlamat utama program ini ialah untuk menggalakan rakyat bercucuk tanam bagi mengeluarkan sendiri bahan makanan harian. Langkah ini diharap dapat membendung impak kenaikan harga barangan makanan serta meringankan beban kewangan kesan kenaikan harga minyak.

Apa yang perlu kita sedari kesan ketara akibat kemelesetan ekonomi ialah krisis makanan terutama beras, gandum dan kentang. Krisis ini disebabkan beberapa faktor seperti perubahan cuaca, penambahan penduduk, pengecilan ruang tanah untuk ladang dan yang tidak kurang pentingnya gaya hidup manusia sendiri yang membazir, suka membeli dan tidak mengeluarkan produk makanan yang termampu. Maka eloklah kita fikirkan bumi Malaysia yang bertuah ini mampu dijana sebagai mekanisma ekonomi. Pada ketika ini terdapat banyak kaedah menternak sendiri ikan tilapia atau keli di kolah tepi rumah. Justeru, tidak ada alasan untuk kita membiarkan ruang yang ada terbiar semak dan menjadi sarang nyamuk dan serangga.

Kempen Bumi Hijau ini akan dapat mewujudkan kesedaran dan minat rakyat terhadap pertanian terutama di kalangan penduduk-penduduk taman perumahan di Bandar. Kempen ini juga diharap dapat mewujudkan kesedaran terhadap makanan segar, berkhasiat dan selamat dimakan di samping persekitaran perumahan yang cantik dan menarik. Di samping itu kerajaan dapat mengurangkan pengimportan hasil makanan dari luar negara sekaligus mengelakan pengaliran wang keluar dan mampu membendung inflasi.

Kempen ini terdiri daripada 3 komponen iaitu tanaman, ternakan dan akuakultur. Amalan bercucuk tanam yang akan dilaksanakan berkonsepkan “Kitchen Garden” atau “Edible Landscape” dengan menanam tanaman yang bersesuaian dengan ruang yang sedia ada untuk keperluan keluarga.

Kempen ini menekankan konsep pengeluaran makanan hanya untuk yang boleh ditanam sendiri sahaja. Jenis tanaman yang boleh ditanam terdiri daripada sayur-sayuran daun dan buah, herba dan ulam-ulaman yang boleh dituai secara berterusan. Kempen ini ditujukan kepada semua rakyat dengan fokus utama disasarkan kepada penduduk taman perumahan, penghuni rumah pangsa dan murid-murid sekolah. Bagi menjayakan kempen ini, anak-anak pokok ditanam di dalam bekas mudah alih seperti pasu, polibeg dan seumpamanya atau di atas tanah kosong milik kerajaan, majlis tempatan, swasta, rumah ibadat dan sebagainya. Penanaman di rumah pastinya mampu mengurangkan beban perbelanjaan harian kita semua.

Tanaman sayur-sayuran dan ulam-ulaman seperti sawi, bayam, cili, terung, selom dan herba seperti daun kari, daun kunyit sesuai dilaksanakan untuk Kempen Bumi Hijau ini. Selain daripada apa yang saya nyatakan di atas tadi saya percaya terdapat manfaat lain hasil daripada kempen seumpama ini antaranya:

a. Program ini juga dapat memupuk semangat kejiranan dan muafakat di kalangan penduduk di taman perumahan di kawasan bandar.
b. Amalan bertani secara sambilan juga dapat mengurangkan tekanan selepas seharian bekerja di pejabat.
c. Amalan bertani secara sambilan juga dapat menjaga kesihatan kerana aktiviti ini umpama senaman yang mengeluarkan peluh.

Saya percaya jika majoriti dari kita mampu melakukan pasti kesan kenaikan harga barangan harian dapat dikurangkan kerana permintaan terhadap barangan ini akan berkurangan memberikan kesan kepada peladang, pemborong dan penjual runcit. Untuk itu, kenapa harus kita tunggu lebih lama? Mulakan sekarang!. Saya banyak berbual dan berbincang dengan rakan-rakan yang menyampaikan keluh kesah dan keresahan hati berkenaan beban hidup yang makin meningkat walaupun suami isteri bekerja sebagai profesional. Setiap hujung bulan perlu memikirkan ansuran kereta, rumah, perbelanjaan sekolah anak-anak, belanja petrol, tol dan parking dan perbelanjaan-perbelanjaan lain. Jangan jadikan alasan sibuk bekerja tidak punya masa. Kerja yang kita lakukan di pejabat sampai kiamatpun mungkin tidak akan habis, bak kata pepatah sehingga kucing bertandukpun tidak mungkin kita selesaikan. Kita perlu bijak membahagikan masa antara tugas pejabat, masa bersama keluarga dan waktu riadah.

Saya melakukan hanya 2 atau 3 kali seminggu dan setiap kali itu hanya mengambil masa sekitar setengah jam pada hari bekerja atau hujung minggu. Saya pulang dari pejabat sekitar jam 6.00 petang ke 6.30 petang. Saya hanya mengambil masa 30 minit sehingga jam 7 petang untuk melihat tanaman saya. Kesesuaian tanaman bergantung kepada faktor tanah dan cuaca serta suhu harian. Kawasan perumahan saya dikelilingi oleh bukit berbatu dengan tanah berbatu dan berpasir. Ini bermakna suhu permukaan tanah akan cepat panas dan menjadikan tanah cepat kering kerana struktur tanah berpasir adalah poros dan mempercepatkan kandungan air larut. Keadaan ini memerlukan saya menyiram air 2 hari sekali. Pada awal dulu saya menggunakan baldi untuk mengangkut air namun kini saya menggunakan paip getah (lihat gambar-gambar yang kelihatan paip getah) yang saya dapati dari bahan terpakai dan buangan tapak binaan. Pembalikan cahaya dan suhu oleh permukaan berpasir dan batu juga menjadikan suhu permukaan meningkat. Oleh yang demikian penanaman sayuran secara semulajadi kurang sesuai. Maka saya tidak menjadikan tanaman sayuran sebagai minat utama saya. Selain itu tanaman sayuran memerlukan kita meluangkan lebih masa. Itu tidak mungkin dapat saya lakukan kerana bebanan kerja pejabat, perniagaan yang saya uruskan, masa untuk “study” saya dan juga tumpuan untuk keluarga. Maka saya berpendapat tanaman kontan lebih sesuai. Apa yang perlu dilakukan memerlukan sedikit pengorbanan kerana jenis tanah yang ada merupakan tanah yang tidak mengandungi zat dan baja. Oleh itu saya saya terpaksa membelanjakan sedikit peruntukan untuk keperluan berikut:

a. Baja Organik Palet Najis Ayam (sekitar RM 50.00 Seguni).
b. Baja Najis Kambing (boleh didapati dari mana-mana penternak kambing pada harga RM 5.00 Seguni).
c. Baja Kimia 1515 (boleh dibeli dalam packet atau kilo pada harga RM 15.00 3 kilogram juga boleh didapati di kedai 2 Ringgit).
d. Black Soil atau tanah hitam (boleh dibeli di Giant atau Tesco pada harga RM 2.65 sekampit), Tanah Hitam atau Tanah Bakar boleh di buat sendiri jika kita rajin membakar rumput, kayu-kayu pokok, akar dan ranting dengan campuran sedikit tanah dari rumput yang anda tajak.

Kaedah pembajaan boleh dilakukan selang 2 ke 3 minggu bergantung keadaan dan bukan semua jenis baja yang dinyatakan di atas kita perlu. Kaedah kawalan penyakit dan rumput rumpai bukan perkara sukar, sediakan sahaja pam racun (memadai pam racun serangga untuk saiz kawasan kecil), racun serangga (boleh dibeli pada harga RM 25.00 seliter), racun rumpai (boleh dibeli sekitar harga RM 15.00 ke RM 35.00 seliter bergantung kepada jenama).

Berikut adalah tanaman yang saya usahakan di hadapan rumah:

Tanaman Kontan

· Pisang Tanduk - 42 Pokok (4 pokok sedang berbuah)
· Pisang Berangan / Montel - 12 Pokok
· Pisang Emas - 04 Pokok
· Pisang Raja - 02 Pokok
· Ubi Keladi - 20 Pokok
· Pokok Kari - 01 Pokok
· Cili Besar - 05 Pokok (sudah berbuah sekali tetapi tidak saya gunakan kerana saya baru meracun rumpai)
· Cili Api - 03 Pokok (sudah hampir tiga saya tidak membeli cili dan sudah digunakan juga di restauran saya)
· Pokok Jagung - (Telah dituai untuk kegunaan sendiri)
· Tebu - 10 Rumpun (sudah cukup matang untuk dituai tetapi tidak saya ambil untuk airnya)
· Serai - 40 Rumpun (sebahagian telah dituai dan dijual di Pasar Kajang, wangnya saya masukan ke tabung anak dan sebahagian digunakan untuk Restauran Beryani, masih ada 32 rumpun belum sempat saya tuai)


Pokok Buah-buahan

· Pokok Jambu Madu - 02 Pokok
· Pokok Rambutan - 02 Pokok
· Pokok Mangga - 03 Pokok
· Pokok Mata Kucing - 02 Pokok
· Pokok Manggis - 01 Pokok
· Pokok Ciku - 01 Pokok
· Pokok Limau Kasturi - 03 Pokok

Kesimpulan daripada apa yang telah saya lakukan ialah; permulaan untuk suka-suka dan kegunaan sendiri kadangkala melebihi daripada apa yang kita perlukan. Apabila ini berlaku bermakna wujud lebihan. Apa yang perlu kita buat dengan barang lebihan ini kecuali dijual runcit. Bagi rakan-rakan saya, satu pertanyaan ingin saya lontarkan. Jika kita mampu membeli harga Bunga Oked umpamanya yang bernilai puluhan malahan ratusan ringgit, sukarkah mencari benih keladi yang isinya kita makan dan batang keladi buangan itu kita buang pada harga RM 2.50 Sekilogram? Bagi yang tidak mempunyai tanah kosong di rumah mungkin jika anda berminat dan bersungguh kaedah Hidroponik, Polibeg dan Fertigasi boleh diaplikasikan. Fikir-fikirkan dan cubalah sendiri anda akan rasai keseronokannya.



Tanam, Ternak, Guna Sendiri, Jimat Cermat Bina Ekonomi



** Banyak lagi gambar dan kolam kanvas ikan talapia saya akan upload ke flicker kemudian.



1 comment:

Anonymous said...

Tahniah buddy, usaha kau tu amat berbaloi. Tang ikan dlm kanvas tu aku cukup minat. Nanti kita discuss sama-sama, aku baru cari macam mana nak mula, stakat ni tak de yang aku boleh kongsi sesama.