Wednesday, December 17, 2008

SEBARIS AYAT SECAWAN KOPI

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَتُهْ

Mengapa suka marah-marah?

Manusia ini wujud dengan pelbagai sifat-sifat dan zat-zatnya. Itu adalah fitrah manusia dan kehidupannya yang telah diciptakan oleh PenciptaNya yang maha ESA. Hidup ini ibarat satu persembahan yang seni maka seringkali juga orang menyatakan hidup ini pentas dunia. Sifat dan perbuatan manusia itu juga dikatakan seni, namun sifat-sifat itu ada yang baik dan ada yang buruk. Maka perlulah kita bijak menilai dan mentafsirnya. Bukan segala yang dipersembahkan seninya itu patut dituruti. Seni itu indah tetapi yang buruk itu tetap akan menjadi seni yang buruk kerana sifat yang buruk itu ukiran tangan kita yang lemah.

Diriwayatkan oleh Para Sahabat: Rasulullah S.A.W pernah bertanya kepada sahabatnya: “Apakah yang faham tentang maksud bergelut?”

Lantas sahabat Baginda menjawap, “Pengusti yang tidak dapat ditumbangkan dalam pergelutannya.” Rasulullah bersabda bahawa bukan itu yang dimaksudkan tetapi orang yang bergelut ialah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.

Marah adalah kunci segala kecelakaan kerana kemarahan berpunca daripada hati. Maksud dan penjelasannya adalah begini; darah yang ada di dalam hati individu itu sedang menggeledak lalu darah itu mengalir ke seluruh anggota badan sehingga ke mencapai kemuncaknya. Apabila kemarahan memuncak, wajah dan mata seseorang itu akan menjadi merah padam.

Bagaimanakah untuk mengenalpasti sikap marah? Tanda-tanda marah secara fizikal ialah berubah warna kulit muka, mengeletar kaki tangan, kelakuan tidak menurut ketertiban dan ketentuan biasa, gerak geri tidak menentu, percakapan bercampur baur dengan nada marah keluar daripada rahangnya, mata merah padam, lubang hidung kembang kuncup dan tubuh badan mengalami perubahan.

Oleh yang demikian, jika seseorang itu sedang marah dan dapat mengesan betapa buruk sifatnya pada masa itu, maka haruslah ia segera bertindak melenyapkan kemarahnnya serta merta jika itu kemahuannya. Kemarahan juga boleh melahirkan sifat-sifat dendam dan dengki, memendam niat jahat terhadap orang lain dan gemar kepada sifat-sifat yang dicela dan dikeji. Untuk menghindari dari sifat-sifat marah maka perlulah kita mengetahui sebab dan punca timbulnya kemarahan itu terlebih dahulu.

Antara sebab-sebab yang membangkitkan kemarahan ialah meninggi diri, bangga, senda gurau, bercakap kosong, mengejek-ejek, mencela, bertengkar, khianat, kemahuan yang tidak terbatas dalm mencari wang ringgit dan menuntut kedudukan. Seseorang itu tidak mungkin terlepas daripada sifat marah selagi semua sifat-sifat ini masih kekal di dalam dirinya.

Untuk mengubati penyakit marah menerusi ilmu pengetahuan ada beberapa cara mudah iaitu:

a. Hendaklah mengingati kembali anjuran-anjuran yang ditunjukkan oleh syariat mengenai keutamaan dan kelebihan sifat-sifat menahan marah, pemaaf, penyantun dan penanggungan perilaku buruk.

b. Hendaklah anda ingat tentang ancaman Allah Ta’ala dan seksaNya seandainya diteruskan juga sifat marah itu.

c. Hendaklah ingat akibat permusuhan dan pembalasan dendam lawan anda, yang mana kelak akan berusaha menceroboh kehormatan diri anda.

d. Padamkanlah kemarahan anda menerusi amalan dengan mengucap “ta’awwudz” dengan lidah yang bermaksud “Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang terkutuk”.

e. Orang yang sedang dalam kemarahan, sunat baginya mengambil wudhu dengan air yang dingin kerana kemarahan itu berpunca daripada api dan api itu hanya berupaya dipadamkan dengan air.

f. Hendaklah gambarkan betapa buruknya rupa anda kelak apabila anda marah, iaitu dengan mengingat rupa orang lain ketika dalam kemarahan.
"DAN APABILA KAMI HENDAK MEMBINASAKAN SUATU NEGERI MAKA KAMI PERINTAHKAN KEPADA ORANG-ORANG YANG HIDUP MEWAH DINEGERI ITU SUPAYA MENTAATI ALLAH, TETAPI MEREKA MELAKUKAN KEDERHAKAAN DINEGERI ITU MAKA SUDAH SEPANTASNYA BERLAKU PERKATAAN KETENTUAN KAMI, KEMUDIAN KAMI HANCURKAN NEGERI ITU DENGAN SEHANCUR-HANCURNYA." Maksud Surah Al-Isra Ayat 16.
Sama-sama kita fikir dan Renung-renungkan.

No comments: